PUTRAJAYA; Gagasan Sejahtera, pakatan pembangkang diterajui PAS,
memperkenalkan Dokumen Malaysia Sejahtera yang mengandungi Manifesto
Malaysia Sejahtera, Dokumen Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS),
Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS2051) dan Dokumen Hijau.
Pelancaran itu yang disempurnakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi
Awang di sini malam tadi, turut dihadiri Presiden Parti Ikatan Bangsa
Malaysia (Ikatan) Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Presiden Jemaah
Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Abdul Kadir Mamat, Timbalan Presiden PAS
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim dan bekas Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim.
Pada majlis itu, Tuan Ibrahim membentangkan Manifesto Malaysia
Sejahtera peringkat kedua yang menggariskan 84 tawaran kepada 12
kelompok masyarakat.
Kelompok tersebut ialah wanita sejahtera; orang kelainan upaya (OKU);
anak muda; petani, penternak dan nelayan; peneroka Felda; penjawat awam;
pekerja swasta; warga emas dan pesara; orang asal; usahawan; korporat;
dan prihatin alam sekitar.
Pada 23 Mac lepas, Gagasan Sejahtera yang terdiri daripada gabungan
beberapa parti politik iaitu PAS, Ikatan dan Berjasa serta lebih 200
badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh berpengaruh melancarkan Manifesto
Malaysia Sejahtera peringkat pertama mengandungi sembilan teras
pembentukan Malaysia Sejahtera.
Manifesto itu turut menggariskan 20 tawaran utama antaranya
menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), membasmi kemiskinan
dan melupuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN).
No comments:
Post a Comment