Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: PPBM tidak menolak kemungkinan meletakkan cucu bekas
Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba berhadapan dengan penyandang
kerusi Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14) ini.
Timbalan Presiden PPBM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata,
strategi PPBM adalah untuk meletakkan calon yang lebih dikenali di
kerusi Parlimen Pekan itu kerana percaya ia mampu menarik sokongan
rakyat di kawasan tersebut terhadap PPBM dan Pakatan Harapan (PH).
Malah, beliau turut menyatakan sokongan penuhnya terhadap Zahid Mat
Arip jika benar individu tersebut dipertandingkan di Pekan nanti.
"Saya dengar-dengarnya (cucu Ghafar Baba bertanding) begitulah, insyaAllah.
"Kita mahu letakkan tokoh yang dikenali sebenarnya.
"Jadi itu yang saya tahu mengikut pemerhatian yang saya ada ini.
"Jadi bagi saya elok benar jika dapat satu tokoh yang lebih dikenali.
"Tapi kalau betul begitu, saya sangat menyokong," katanya kepada Antarapos.
Semalam, media melaporkan Zahid yang juga ahli majlis pimpinan
tertinggi PPBM, bakal dipertandingkan di kerusi Parlimen Pekan,
menggantikan calon yang diumumkan sebelum ini, Kamarul Ariffin Mohd
Shahar.
Kamarul dikatakan diminta mengundur diri oleh Pengerusi PPBM, Tun Dr
Mahathir Mohamad untuk memberi laluan kepada Zahid yang akan diumumkan
sebagai calon malam ini.
Untuk rekod, Zahid pernah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) pada Ogos lepas bagi membantu siasatan ke atas pembelian
sebuah hotel di Kuching dengan harga lebih tinggi berbanding nilai
pasaran oleh Felda Investment Corporation (FIC).
No comments:
Post a Comment