Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
SHAH ALAM: Langkah PKR meletakkan syarat denda RM10 juta terhadap
calonnya yang melompat parti selepas memenangi PRU14 memberi gambaran
parti itu tidak yakin dengan calonnya, demikian menurut penganalisis.
Jika PKR yakin dengan calonnya, sudah tentu parti itu tidak akan
meletakkan denda yang begitu tinggi, kata Dr Kamarul Zaman Yusof kepada
Antarapos.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan pemimpin kanan PKR,
Datuk Johari Abdul yang memberitahu parti berkenaan mengenakan denda
RM10 juta sekiranya ada calon PKR melompat parti selepas memenangi
PRU14.
"Saya rasa ini melambangkan ketidakyakinan dan ketidakpercayaan PKR terhadap calon wakil rakyatnya.
"Jika mereka yakin, sudah tentu jumlah ini tidak dinaikkan sebegitu tinggi," katanya.
Di samping itu, Kamarul menyifatkan tindakan PKR mengikat calonnya melalui denda kewangan sebagai sesuatu yang tidak kukuh.
Kamarul juga melihat denda yang digunakan PKR mampu dijadikan sebagai
senjata politik bagi parti yang lain dalam memancing calon parti itu.
"Ini berbeza dengan PAS, sekadar memerlukan bai'ah dan nama tuhan.
"Jadi nak ikat seseorang calon dengan kebendaan dan wang ringgit, tidak akan berhasil.
"Hasilnya tidak begitu mencapai matlamat parti kerana ikat dengan wang ialah suatu ikatan yang tidak kukuh.
"Kalau nak lompat boleh je kalau ada pihak yang memberi RM10 juta kepada calon yang bertanding," jelasnya.
Pada masa sama, Kamarul mendakwa kini jelas terbukti bahawa PKR takut akan kehilangan ahlinya.
Hal ini kerana, rata-rata calon adalah 'muka baru' bagi parti itu.
"Menggambarkan ketidakyakinan PKR sendiri terhadap kemampuan PH untuk menang selesa dalam PRU14.
"Kalau yakin PH boleh menang maka tidak perlu adanya ikatan sebegini.
"Apa yang bermain dalam fikiran PKR ialah jika menang pun maksudnya
menang dalam keadaan yang tidak selesa yang memerlukan jaminan dan
ikatan sebegini untuk elak calon lompat parti.
"Ketakutan itu adalah sesuatu yang 'real' dan wujud.
"Ini menggambarkan bahawa ada sesuatu masalah dalam proses indoktrinasi ahli PKR.
"Seperti mana yang saya lihat ramai ahli baru dalam PKR sebab itu masalah ini timbul," tambahnya.
Sebelum ini, PKR mewajibkan calonnya pada PRU13 untuk membayar ganti
rugi RM5 juta kepada parti itu jika mereka belot selepas menerima
watikah calon.
Kebanyakan wakil rakyat PKR telah belot dalam dua pilihan raya umum terakhir ini, terutamanya di Sabah.
PKR akan bertanding di 51 parlimen dan 131 DUN.
No comments:
Post a Comment