IPOH: Seorang lelaki yang giat menjalankan kegiatan penipuan
menggunakan nama Yang Dipertuan Agong, Sultan dan Perdana Menteri sejak
tahun lalu diberkas polis bersama tiga lagi individu lain selain
merampas dua pistol dalam serbuan di sebuah banglo mewah di Jalan Sultan
Azlan Shah di sini, Jumaat lalu.
Dalang utama berusia 31 tahun yang menyamar sebagai Datuk Seri itu
ditahan susulan polis menerima laporan dibuat seorang pengawal
keselamatan yang mendakwa diugut dan dicederakan dengan pistol oleh
suspek dalam kejadian di sebuah kondominium di Tambun di sini 11 Mac
lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, berkata lelaki berkenaan
dipercayai ada kaitan dengan sekurang-kurangnya 11 kes penipuan di
Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, membabitkan kerugian
kira-kira RM1.6 juta.
Menurutnya, modus operandi mereka adalah dengan menyamar sebagai Datuk
Seri, kononnya wakil Perdana Menteri dan bekerja dengan Ketua Setiausaha
Sulit Perdana Menteri, yang menawarkan pelbagai projek selain gelaran
Datuk dan Datuk Seri.
"Pada 11 Mac lalu, polis menerima laporan daripada seorang pengawal
keselamatan di Montblue Residence, Tambun yang mendakwa diugut dan
dihentak dengan pistol hingga cedera di dahi kiri oleh suspek yang
mengaku sebagai orang kuat Perdana Menteri.
"Lelaki berkenaan dikatakan berang selepas pengawal terbabit enggan
membenarkannya masuk ke kawasan kondominium terbabit kerana tidak
mempunyai pas masuk," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis
Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.
Hasnan berkata, susulan laporan itu, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah
Berat (D9) dan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh
bertindak menjalankan siasatan dan mengesan suspek.
Katanya, polis yang berjaya mengesan suspek di sebuah banglo mewah
bertindak menjalankan serbuan kira-kira jam 7 malam Jumaat lalu.
"Hasil serbuan, empat individu berusia 31 hingga 66 tahun diberkas
membabitkan suspek utama berusia 31 tahun bersama isterinya dan dua lagi
suspek.
"Hasil pemeriksaan di kediaman terbabit, polis berjaya merampas dua
pistol jenis semi auto dan revolver bersama kelopak peluru dan peluru
hidup selain pelbagai dokumen serta barangan yang dipercayai digunakan
untuk kegiatan menipu," katanya.
Menurutnya, antara barangan yang dirampas itu adalah 49 cop palsu
membabitkan cop Yang Dipertuan Agong, cop kerajaan Malaysia, cop
kerajaan negeri dan cop pelbagai agensi kerajaan.
Hasnan berkata, pihak polis turut merampas pelbagai dokumen dan sijil
anugerah darjah kebesaran palsu, baju istiadat berserta songkok dan
selempang serta sebuah kereta jenis Audi Q7 dan empat paket ganja.
"Semakan mendapati suspek utama mempunyai rekod lampau membabitkan kes
jenayah dan penipuan serta ujian saringan awal air kencing tiga daripada
suspek adalah positif.
"Kesemua direman hingga 8 April ini bagi membantu siasatan mengikut
Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen
506 (ugutan), Seksyen 420 (menipu) di bawah akta yang sama selain
Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (memiliki pistol),
Seksyen 36 Akta Senjata 1960 (memiliki peluru) dan Seksyen 39A (2) Akta
Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Hasnan berkata, pihaknya percaya suspek mungkin terbabit banyak lagi
kes penipuan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau ditipu
oleh suspek supaya tampil membuat laporan untuk membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment