Rabu, 14 Mac 2018

Usah berdalih fakta laporan Unicef

DETIK DAILY

 
Mohd Ashtaf Mustaqim Badrul Munir 
 
 
MENTERI Pendidikan Mahdzir Khalid memandang remeh laporan Unicef dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertajuk "Kanak-Kanak Pinggiran: kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di rumah pangsa di Kuala Lumpur".

Laporan ini telah membangkitkan kebimbangan terhadap masalah kekurangan zat makanan dan keciciran dari sudut pendidikan antara lain, dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal di rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur.

Kerisauan akan permasalahan ini telah dibangkitkan pada sesi soalan tambahan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah pada sidang Dewan Rakyat semalam.

Dari sesi soal jawab tersebut, Mahdzir bukan sahaja menidakkan sebuah kajian yang dikelaskan sebagai mendapat penarafan dunia, malah beliau selaku seorang menteri jelas bersikap ego atau bodoh sombong yang ternyata tidak menghiraukan langsung nasib rakyat terpinggir ataupun kelompok marhaen di negara ini.

Setidaknya Mahdzir memilih untuk mendalami kajian tersebut dan memikirkan langkah yang lebih baik untuk membasmi permasalahan yang melanda rakyat, namun jawapan yang dilontarkan adalah sebaliknya, apabila beliau dengan jelas menolak 100% laporan tersebut dan mengalihkan asas pertanyaan pada sesi soal jawab itu dengan kononnya penyelesaian menerusi agenda Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Selaku Exco Pendidikan Pemuda Pakatan Harapan, saya ingin menyelar tindakan Mahdzir setelah respons beliau yang menidakkan bahawa terdapat isu malnutrisi di negara ini.

Saya lampirkan perenggan hasil kajian Kementerian Pendidikan itu sendiri menerusi Buku Panduan Rancangan Makanan Tambahan yang membuat kajian dan menyebut pada perenggan 1.2 mengenai rasional untuk diadakan program RMT.

Perenggan 1.2 menyatakan bahawa hasil kajian mendapati:

1.2.1. Di antara 15-20 peratus daripada jumlah murid yang datang ke sekolah mengalami ‘kelaparan tersembunyi’ iaitu tidak bersarapan (sekolah pagi) atau makan tengah hari (sekolah petang).
1.2.2. Lebih kurang 35 peratus murid sekolah rendah menunjukkan tanda-tanda salah pemakanan (malnutrition).

1.2.3. Salah pemakanan dan kesan bersama-sama yang diakibatkan oleh salah pemakanan dan serangan penyakit (infection), menimbulkan pelbagai masalah dari segi pertumbuhan badan (growth), pencapaian dalam pelajaran (learning) serta kelakuan penyesuaian diri (adaptive behavior).”

Jelas daripada buku panduan yang merupakan hasil kajian Kementerian Pendidikan itu sendiri telah menunjukkan terdapat permasalahan yang besar di peringkat nasional mengenai kesusahan rakyat yang ditanggung anak-anak di alam persekolahan seiring dengan isu yang ditimbulkan menerusi kajian UNICEF biarpun kajian itu sekadar meliputi Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur.

Bagaimana Mahdzir boleh menafikan hasil kajian UNICEF ini sedangkan hasil kajian kementerian beliau turut menujukkan data yang sama, iaitu bebanan kesusahan rakyat yang begitu ketara.

Lebih menyedihkan apabila beliau merasakan bahawa agenda RMT adalah mencukupi.

Saya ingin bertanya adakah Mahdzir merasakan RM2.50 yang diperuntukkan oleh kementerian menerusi RMT mencukupi untuk seorang anak kecil mendapat zat makanan yang baik? Makanan apakah yang mampu memenuhi perut murid dari segi zat yang seimbang?

Adakah Mahdzir merasakan tiada masalah jika hari ini pada tahun 2018 dengan peningkatan kos sara hidup, cucu Mahdzir diberikan RM2.50 sehari untuk makan dan minum pada sesi persekolahan dan adakah beliau yakin bahawa mereka akan mendapat zat makanan yang seimbang?
Maka fikirkan kembali kesusahan yang menimpa rakyat!

Malah pengusaha kantin juga hakikatnya mempunyai masalah untuk menyediakan makanan yang baik dan sihat dengan peruntukan hanya RM2.50 seorang murid untuk makan dan minum. Maka boleh jadi benar isu RMT yang pernah menggemparkan negara baru-baru ini apabila murid hanya dibekalkan nasi kosong dan sosej!

Saya yakin bahawa Mahdzir sedikitpun tidak membaca laporan dari UNICEF ini malah laporan dari kementerian beliau sendiri, jika tidak beliau tidak akan cuba mengelak untuk membuat penipuan atau memberikan jawapan yang bodoh malah menunjukkan bahawa beliau seorang menteri yang tidak kompeten untuk memperjuangkan nasib rakyat!

Tidak hairan kerana inilah kriteria seorang menteri UMNO-Barisan Nasional.

Jika beliau menelusuri laporan tersebut, beliau seharusnya maklum bahawa separuh daripada rakyat Malaysia hari ini adalah bergaji bawah RM3,000, dan bagi yang tinggal di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur kelompok gaji ini dikategorikan sebagai miskin bandar.

Malah dari laporan UNICEF tersebut didapati bahawa sebanyak 78% daripada isi rumah adalah di bawah tangga gaji RM3,000. Suatu jumlah yang menggerunkan kerana purata isi rumah adalah seramai lima ahli keluarga manakala 17% sahaja isi rumah yang mempunyai lebih dari tujuh ahli keluarga.

Tidak hairan jika statistik mendapati antara isu besar selain kebantutan atau malnutrisi adalah isu terkait pendidikan yang menunjukkan 51% kanak-kanak berusia 5 dan 6 tahun tidak menghadiri pra-sekolah dan 2% yang berusia dari 7 hingga 17 tahun langsung tidak bersekolah!

Daripada 2% itu, sebanyak 84% berusia  dari 13 hingga 17 tahun manakala 16% berusia dari 7 hingga 12 tahun tidak bersekolah! Data yang sama menunjukkan 14% kanak-kanak mempunyai pencapaian akademik sederhana dan lemah!

Mungkin kerana data ini mampu mencalar imej sedia buruk kerajaan Umno dan Barisan Nasional menyebabkan Mahdzir cuba berdalih atau berusaha untuk memperbodohkan rakyat!

Namun ingatlah, Pakatan Harapan tidak buta, dan rakyat tidak bodoh meskipun ada usaha yang jelas oleh Mahdzir dan barisan menteri Umno dan BN yang lain untuk menidakkan data yang terhasil.

*Mohd Ashtaf Mustaqim Badrul Munir ialah Exco Pendidikan Pemuda Pakatan Harapan Malaysia.

Tiada ulasan: