Sabtu, 17 Mac 2018

Surat tunjuk sebab buat Najib dan BN

DETIK DAILY

 
Oleh Dr Dzulkefly Ahmad

 SEOLAH-OLAH tidak cukup untuk menguji kesabaran rakyat khasnya warga peneroka – dengan merudumnya saham FGV kepada RM1.80, skandal pembelian hartanah dan hotel-hotel mewah yang penuh pertikaian di London dan beberapa tempat lain, dan paling mutakhir tentang ‘terjualnya’ tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang kononnya telah berjaya didapatkan semula; umum tidak mahu lagi dengar apa-apa cerita yang buruk tentang Felda lagi.

Apalah sangat tentang saham Eagle High Plantation di lndonesia itu? Apa rakyat peduli, kata sesetengah pihak yang tidak langsung mengikuti perkembangan politik dan ekonomi negara mutakhir ini. Bukankah harga saham sememang turun naik sepanjang tahun? Ini semua angkara pembangkang hendak memburuk-buruk kerajaan!

Ya, sekali pandang sememang macam itulah sifat dan gelagat saham di mana pun bursanya. Tetapi bukan kes Eagle High Plantation ini! Sebabnya? Kerana pembeliannya penuh kontroversi dan paling mengecewakan (baca celaka), ia dikatakan ada hubung kait dengan Perdana Menteri Najib Razak. Begini ceritanya serba ringkas.

Pembelian 37% saham EHP, melalui FIC Properties Sdn Bhd, sememang ditentang pelbagai pihak kerana dikatakan bukan sahaja tidak wajar dari segi keutamaan tetapi paling kontroversi membayar hampir 95% lebih tinggi dari pasaran ketika itu. Jumlah 37% pula bukanlah pembelian ‘controlling stake’ atau menguasai syarikat.

Lebih kontroversi lagi kerana mengikut sebuah pemantau (watchdog) lnternational Palm Oil Monitor (IPOM), laporan ‘due diligence’ (saringan legal dan kewangan pelaburan) oleh sebuah ‘top 4 firm audit global’ yakni KPMG, yang disaksikan sendiri oleh IPOM, telah mengenal pasti pelbagai salah laku tadbir-urus kewangan dan turut mengalami kerugian kewangan untuk beberapa tahun mutakhir.

Di samping itu, EHP tidak menjalankan ‘amalan terbaik’ global seperti RSPO (Roundtable on Sustainable Palm Oil) dan lSPO.

Dengan saham yang merudum mendadak ini, Felda sedang mengalami kerugian susutan nilai sebanyak US$300 juta atau RM1.3 bilion dalam pemilikan yang dipaksa ke atasnya.

Pembelian ini dikatakan oleh Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad sebagai menjalankan kehendak kerajaan. EHP untuk pengetahuan, adalah syarikat di bawah Rajawali Group milik taikun Indonesia Peter Sondakh, rakan golf PM Najib. Beliau semakin tertekan dengan perkembangan ini.

Mungkinkah antara sebab itu juga, Najib semakin sesak dan lemas, lalu tidak berjumpa tarikh ‘fengshui’nya untuk membubarkan parlimen sehingga kini.

Lebih penting dari isu survivalnya, rakyat ingin tahu, pentadbiran Najib mesti bertanggungjawab kepada rakyat dan khasnya warga Felda, mengapa kerajaannya ‘memaksa’ juga pembelian saham yang hampir 100% lebih mahal dari harga pasaran ketika itu!

Ketika segala bukti dan maklumat kritikal termasuk ‘due diligence’ yang dijalankan KPMG menunjukkan bahawa pembelian ini adalah tidak wajar dari apa jua segi sekali pun, mengapa Najib masih memaksa pembelian ini, yang diketahui adalah milik ‘buddy golf’nya, yang tentunya membawa pelbagai dakwaan yang negatif!

Juga buat Pengerusi Felda, Shahrir Samad, dalam setahun pemilikan EHP, apakah kegiatan dan pelaburan hiliran yang kononnya adalah faktor pendorong pembelian EHP dahulu?

Tegasnya, dengan semua salah-laku pengurusan serta pelaburan yang sarat dengan kontroversi dan skandal kewangan ini, warga Felda khasnya dan rakyatnya umumnya, kini memberi ‘Surat Tunjuk Sebab’ mengapa Najib dan kerajaan BN tidak boleh dipecat! (baca dikalahkan).

Dengan kata lain dari 54 kerusi Felda di seluruh negara, Najib hari ini kaget dan panik memikirkan bahawa mengikut maklumat pihak ‘think-tank’ BN, bahawa Najib akan kalah paling tidak dalam 25 kerusi Felda, sementara Tun Dr Mahathir mahukan warga Felda mengalahkan Najib-BN di 30 kerusi Felda yang persaingan sengit akan bakal berlaku.

Semoga Allah selamatkan rakyat dan negara ini dari penguasa dan kerajaan kleptokrat.

*Dr Dzulkefly Ahmad ialah Pengarah Strategi AMANAH.
 
 

Tiada ulasan: