Rabu, 21 Mac 2018

Sekolah asrama penuh sudah tersasar, kata Dr Mahathir

 
Bekas PM itu menjelaskan sebab di sebalik penubuhan sekolah berasrama penuh oleh kerajaan dulu.


Sekolah berasrama penuh diwujudkan bagi membantu pelajar keluarga miskin, kata Dr Mahathir. (Gambar Facebook)


PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata matlamat asas kerajaan dalam menyediakan sekolah berasrama penuh kini sudah tersasar, sehinggakan sekolah seperti itu tidak lagi menekankan bantuan kepada anak golongan miskin.

“Yang pergi ke sekolah asrama penuh ini sepatutnya ialah mereka yang tinggal di rumah yang kurang alatan lampu dan lain-lain untuk mereka belajar,” katanya pada sesi penerangan dasar Pakatan Harapan (PH) atau “Policy Talk” hari ini.

“Sebabnya kita adakan asrama penuh termasuk di sekolah menengah ialah untuk beri peluang kepada lebih ramai anak kita belajar,” kata pengerusi PH itu.

Menurutnya, langkah itu diambil kerana ramai di kampung menghadapi kesukaran belajar sendiri di rumah mereka kerana kurangnya kemudahan seperti tidak mempunyai lampu elektrik.

Menurutnya, anak-anak juga terpaksa membuat kerja lain membantu ibu bapa mereka, sehingga menyebabkan pelajaran mereka terganggu.

“Oleh itu kita cipta sekolah asrama penuh. Sekolah asrama penuh ini memberi peluang yang miskin tinggal di asrama di mana terdapat cara yang cukup baik untuk belajar, ada eletrik, tidak ada gangguan daripada ibu bapa dan sebagainya.

“Serta mereka dapat membuat kerja rumah tanpa ganggu, mereka lebih mudah menguasai ilmu dan prestasi mereka meningkat dengan cukup tinggi,” katanya.

Dr Mahathir berkata pihak berkuasa perlu mengambil kira latar belakang mereka diterima belajar di asrama penuh.

Tiada ulasan: