KUANTAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman
hari ini mengumumkan PKR akan mengetuai gabungan di negeri itu.
Ini kerana katanya, PKR mendapat kerusi paling banyak, iaitu 14 kerusi
daripada 42 kerusi DUN di negeri kelahiran Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak.
Ujar beliau yang dipetik Malaysiakini, secara keseluruhan, Amanah akan bertanding 11 kerusi, PPBM (sembilan) dan DAP (lapan).
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Indera Mahkota itu mengumumkan
agihan kerusi tersebut dalam sidang akhbar di Kuantan hari ini.
Pada pilihan raya umum 2013 lalu, PAS mengetuai gabungan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) bertanding 21 kerusi DUN.
Walau bagaimanapun pada PRU14, PAS memilih menjadi kuasa ketiga melalui
gabungan Gagasan Sejahtera untuk bertanding melawan PH dan Barisan
Nasional (BN).
Daripada 21 kerusi yang ditandingi PAS sebelum ini, Amanah akan
bertanding sembilan, termasuklah tiga kerusi yang dimenangi PAS pada
2013, iaitu DUN Kuala Semantan, Tanjung Lumpur dan Beserah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan