Khamis, 22 Mac 2018

Pelajar kaya masuk sekolah asrama jadi budaya, kata aktivis






PETALING JAYA: Sebuah kumpulan pendidikan bersetuju dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan sekolah berasrama penuh kini sudah tidak menumpukan pendidikan untuk pelajar dari latar belakang miskin, menjadikan sistem itu tersasar dari matlamat asas kerajaan.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Rahim berkata, sudah menjadi budaya bagi golongan kaya berebut dengan orang miskin untuk masuk ke sekolah berasrama penuh.

“Kerap kelihatan anak ahli politik, korporat dan yang berkemampuan berebut masuk ke sekolah berasrama penuh. Sepatutnya 10% sahaja untuk golongan itu, tetapi kini sudah lebih.

“Ini sebenarnya sudah menjadi budaya apabila kenal orang berpengaruh akan dapat tempat. Manakala orang yang tidak kenal orang berpengaruh dan tidak ada kuasa pula tersisih. Orang dah tak hairan,” katanya kepada FMT.

Semalam, Dr Mahathir berkata matlamat asas kerajaan menyediakan sekolah berasrama penuh kini sudah tersasar, sehinggakan sekolah seperti itu tidak lagi menekankan bantuan kepada anak golongan miskin.

“Yang pergi ke sekolah asrama penuh ini sepatutnya mereka yang tinggal di rumah yang kurang alatan lampu dan lain-lain untuk mereka belajar,” katanya pada sesi penerangan dasar Pakatan Harapan (PH) atau “Policy Talk”.

“Sebab kita adakan asrama penuh, termasuk di sekolah menengah, ialah untuk beri peluang kepada lebih ramai anak kita belajar,” katanya.

Azimah berkata, Kementerian Pendidikan perlu menyemak semula kuota untuk anak orang berkemampuan masuk ke sekolah asrama penuh.

Beliau berkata ia bagi memastikan golongan miskin tidak kehilangan peluang dan tersisih untuk masuk ke sekolah asrama penuh.

Azimah berkata walaupun Dr Mahathir mempunyai agenda politik di sebalik kenyataannya, ia adalah satu hakikat.

“Di banyak tempat, kenal orang berpengaruh itu sudah jadi budaya.

“Ini berlaku terutama apabila mereka habis Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Sebab mungkin ingin senang dapat biasiswa belajar ke luar negara,” katanya.
Sekolah asrama penuh sudah tersasar, kata Dr Mahathir

Tiada ulasan: