Selasa, 20 Mac 2018

PAS tidak boleh sahkan jatuh talak atau tidak - Zuhdi Marzuki

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS tidak boleh mengesahkan sama ada jatuh talak tiga atau tidak ke atas bekas wakil rakyatnya di Kelantan yang melanggar lafaz baiah apabila mereka bertindak melompat parti.
 
Justeru, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki berkata ketiga-tiga bekas wakil rakyat parti itu harus merujuk kepada pihak berkuasa agama bagi mendapat penjelasan berhubung status perkahwinan mereka.
 
Tiga bekas wakil rakyat itu adalah Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli dan ADUN Salor, Husam Musa dan Datuk Kamaruddin Jaafar.
 
"Lepas dia (bekas wakil rakyat PAS) keluar itu terpulanglah. Mereka melanggar baiah, mereka nanti jawablah perkara itu di akhirat kelak. Adapun hukum dia jatuh atau tidak kita serah kepada pihak berkuasa agama. Pihak berkuasa agama pun dah minta kepada individu tersebut supaya mereka merujuk kepada pihak berkuasa di Kelantan.
 
"Saya tidak pasti, tetapi ada kenyataan daripada Mufti saya tidak silap selepas peristiwa itu. Juga pihak berkuasa agama yang meminta kepada Ahli Parlimen berkenaan supaya merujuk kepada pihak berkuasa agama. Jatuh atau tidak perkara itu. 
 
"Saya tidak pasti sejauh mana mereka tampil merujuk pihak berkuasa agama untuk mengesahkan apa yang sedang berlaku," katanya dalam temubual eksklusif Antarapos baru-baru ini.
 
Malah katanya, isu hukum baiah talak tiga itu juga pernah dibangkitkan pihak berkuasa agama.
 
"Isu itu sudah pun dipersoalkan bukan oleh kita tetapi Mufti Kelantan sendiri dan saya tidak silap Ketua Hakim Syarie juga telah menyebut perkara itu. Bila ada pimpinan-pimpinan PAS yang kalah dalam Muktamar 2015 kemudian mereka mengambil langkah untuk keluar parti. Jadi Mufti dah sebutperkara itu, dah timbul isu itu," tambahnya.
 
Mengulas lanjut jelasnya, isi kandungan lafaz taklik yang dilafazkan wakil rakyat PAS di Kelantan merupakan lafaz "soreh", bersifat jelas dan hukumnya perlu diambil serius.
 
"Kita tidak boleh nak menjatuhkan hukuman begitu, sebab persoalan jatuh atau tidak itu adalah dalam bidang pihak berkuasa agama. Mahkamah syariah, kadi, mereka yang menentukan jatuh atau tidak. Tetapi kita telah sebut bahawa lafaz itu adalah begini, dalam istilah fekah, lafaz yang soreh. Lafaz yang jelas. 
 
"Dalam teks baiah itu pun lafaz yang jelas, bukan lafaz yang inayah. Dalam bentuk sindiran atau sebagainya. Jadi lafaz yang soreh itu lafaz yang jelas, persoalan jatuh atau tidak jatuh itu terserah pada pihak berkuasa agama," jelasnya. 
 
Zuhdi kemudiannya menyingkap sejarah wujudnya lafaz baiah bertaklik yang digunapakai khusus untuk PAS di Kelantan.
 
Diperkenalkan pada tahun 2008, baiah itu dicadangkan oleh Mursyidul Am PAS yang juga Pesuruhjaya PAS negeri ketika itu, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berlandaskan rujukan kitab-kitab lslam lama. 
 
Nik Aziz memperkenalkan baiah cerai talak tiga itu berikutan suasana genting memandangkan majoriti tipis PAS dengan Barisan Nasional (BN) di Kelantan pada tahun 2004, dengan perbezaan hanya dua undi.
 
"Apabila dalam PRU sebelumnya, tahun 2004 PAS mengalami suasana yang sangat genting di Kelantan. Apabila kita berbeza majoriti perbezaan kerusi dengan Barisan Nasional (BN) adalah dua kerusi. Salah satu kerusi yang berbeza ini menang dengan dua undi. 
 
"Saat itu cukup genting. Kalau parti-parti lain, biasanya bila beza dua undi ini disebabkan BN parti memerintah biasanya akan berlaku lompat parti. Akan berlaku lompat parti. Akan berlaku kerajaan diambil alih melalui cara pintu belakang. Seperti di Perak dan seumpamanya," tambahnya.
 
Sebelum ini, Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan, Datuk Daud Muhammad menganggap perkahwinan Datuk Dr Mohd Hatta dan isterinya terbubar dengan cerai talak tiga setelah melanggar taklik yang pernah dilafazkan kerana menyertai parti Amanah.
 
Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Mohammad pula berkata mana-mana individu yang melafaz sumpah dan melanggar sumpah, dengan menyertai parti lain, perlu membuat pengesahan di Mahkamah Syariah kerana lafaz talak yang diikrar adalah sah.
 
Sementara Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan, baiah tidak boleh terbatal dengan cara membayar kafarah kerana merupakan satu perjanjian dan sumpah dengan Allah.
 
Kata Mufti negeri itu, apabila sudah melafazkan baiah, ia perlu dipatuhi dan ditanggung oleh orang yang melafazkannya.
 
 

Tiada ulasan: