Oleh Siti Nur Azizah Mohd Zaini
SHAH ALAM: Umno-Barisan Nasional (BN) bukan hanya akan mendapat
kemenangan mudah di kerusi Parlimen Titiwangsa, malah parti itu akan
memastikan jurang majoriti akan lebih besar berbanding pada Pilihan Raya
Umum ke-13 (PRU13).
Exco Pemuda Umno Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, beliau melihat
senario yang berlaku kepada pembangkang dijangka memberi kelebihan
kepada BN sekaligus mendapat kemenangan yang selesa.
"Dalam kes Titiwangsa ini, kami (Umno) tidak kisah kerana kami akan mendapat kemenangan mudah.
"Kami tidak boleh menghalang sesiapa bertanding sebab kita ini
demokrasi. Lagi ramai yang datang bertanding lagi bagus dan memberi
kelebihan kepada BN.
"Jika kita lihat kini, PAS dan PPBM menyatakan sokongan ingin
bertanding. Kami sememangnya mengalu-alukan mana-mana parti pembangkang
yang ingin bertanding. Kerana yang akan berpecah nanti adalah
pembangkang," katanya kepada Antarapos.
Nazir mengulas desas-desus kemungkinan Timbalan Pengarah Dasar dan
Strategi PPBM, Wan Saiful Wan Jan dipilih untuk bertanding Parlimen
Titiwangsa.
Ini berikutan beliau dilihat mengadakan tinjauan di pasar malam Kampung
Pandan, di bawah kawasan Parlimen Titiwangsa pada Rabu lalu.
Pada tahun 2013, Parlimen Titiwangsa dimenangi oleh Menteri Kewangan
Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani dengan hanya 866 undi majoriti.
Dijangka pada PRU14, kawasan berkenaan berdepan dengan perebutan kuasa tiga penjuru diantara PAS, PPBM dan Umno.
Nazir menambah, Umno-BN tidak tergugat dengan mana-mana calon yang
dikemukakan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya parti itu sentiasa dalam
keadaan bersedia seperti mana yang diingatkan Presiden Datuk Seri Najib
Razak.
"Jika kita lihat dalam persidangan Umno, Presiden Umno sentiasa memberi
peringatan dan menekankan kami perlu sentiasa bersiap siaga. Mood kami
sememangnya dalam mood perang," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan