Rabu, 21 Mac 2018

Noh Omar diingatkan sikap tamak Umno-BN punca krisis air Selangor



Noh Omar diingatkan sikap tamak Umno-BN punca krisis air Selangor


Cabaran Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar untuk berdebat dengan Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai isu air negeri ini jelas satu cubaan untuk melindungi isu nasional lebih parah yang melanda Malaysia ketika ini.

Terang lagi bersuluh, ianya taktik lapuk Umno dan Barisan Nasional (BN) mengalih isu.
Demikian kata Setiausaha Politik MB Selangor, Shuhaimi Haji Shafiei dalam satu kenyataan kelmarin.

Kata beliau, umum sedia maklum, isu air Selangor terlalu kerap dibangkitkan ahli Parlimen BN dalam Dewan Rakyat mutakhir ini sehinggakan dewan yang sepatutnya membincangkan masalah di semua bahagian pada Persekutuan menjadi medan perbahasan hal ehwal Selangor saja..

Jelasnya, MB Azmin Ali sudah acap kali membahaskan isu air Selangor, khususnya pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dengan Menteri di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA)

“Seperti biasa, menteri mengelak apabila ditanya mengenai hasil dapatan penilai bebas untuk pembiayaan pengambilalihan SPLASH. Menteri Besar Selangor banyak kali menegaskan, pihaknya memerlukan maklumat itu bagi membolehkan tawaran sebut harga dilakukan.

“Kementerian tidak bertindak menjadi pemudah cara dalam isu air ini, bahkan menyukarkannya. Kenyataan Ketua Setiausaha KeTTHA juga tidak membantu, sebaliknya turut terkait dengan agenda politik,” kata Adun Sri Muda itu.

Lebih malang katanya, Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak pada Isnin minggu lalu membangkitkan isu air Selangor apabila membuat perbandingan dangkal dengan permasalahan hutang 1MDB yang disiasat di tujuh negara serta menjadi tumpuan masyarakat dunia.

Akibatnya, seluruh negara menjadikan Perdana Menteri sebagai bahan ketawa, yang mana jelas dapat dilihat melalui media sosial, kata beliau.

Jelas Shuhaimi, isu air Selangor yang berlaku ketika ini adalah kerana kesilapan Kerajaan Negeri Selangor di bawah BN suatu ketika dahulu.

Ia katanya, berpunca daripada nafsu tamak pimpinan Umno-BN ketika itu yang menswastakan sumber air milik rakyat kepada kroni.

“Bukankah Tan Sri Noh adalah sebahagian daripada pimpinan Umno-BN Selangor ketika itu? Mengapa baru sekarang mahu berbahas isu air Selangor?

“Kenapa Tan Sri Noh tidak berbahas ketika ia hendak diswastakan suatu ketika dahulu? Mengapa diam? Atau mungkinkah ada sedikit saham untuk Tan Sri Noh dalam penswastaan air di Selangor?

“Tan Sri Noh jangan hanya melihat kuman diseberang laut, tetapi gajah didepan mata seolah-olah tidak kelihatan,” katanya.

Tiada ulasan: