OLEH SHEEDA FATHIL
Kepada
mereka yang masih mencari destinasi untuk bercuti bersama keluarga,
saya mencadangkan anda berkunjung ke Selangor yang memiliki pelbagai
lokasi menarik selain kaya dengan flora dan fauna.
Negeri ini
turut menjadi nadi utama negara memandangkan tempat masuk utama ke
Malaysia adalah melalui Selangor iaitu Lapangan Terbang Kuala Lumpur
(KLIA). Maka, tidak hairanlah Tourism Selangor menjenamakan ‘Discover
Selangor, Heart of Malaysia’.
Baru-baru
ini, Tourism Selangor dengan kerjasama Malaysian Association of Tour
and Travel Agents (MATTA) mengadakan lawatan Familiarisation (FAM) Tour
di tiga daerah iaitu Petaling, Kuala Selangor dan Sekinchan, bermula 17
hingga 18 Januari lalu.
Kubah ‘Masjid Biru’ terbesar di dunia
Seawal
jam 7 pagi, saya bersama yang lain diminta untuk berkumpul di Masjid
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah iaitu lokasi pertama dilawati sebelum
memulakan perjalanan ke destinasi seterusnya.
Digelar
sebagai ‘Masjid Biru’ dalam kalangan pelancong, ia adalah masjid
terunggul di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara yang dibina
atas kawasan seluas 14.6 hektar, di pusat bandar Shah Alam.
Menariknya,
masjid berkenaan mempunyai kubah terbesar di dunia dengan ciri seni
bina menggunakan aluminium disaluti emas serta dihiasi khat al-Quran
berwarna biru berlatar belakang panel kelabu yang tidak memerlukan
penyelenggaraan, selama 200 tahun.
Dikelilingi empat menara tinggi
yang dibina di setiap penjuru kubah dengan ketinggian 140 meter dari
aras tanah, pelancong yang hadir boleh naik dan melihat sendiri fungsi
menara itu, di samping menjamu mata pemandangan sekitar Shah Alam.
Masjid
tiga tingkat itu berupaya memuatkan 24,000 jemaah dalam satu masa dan
dilengkapi pejabat, bilik persidangan, bilik menyambut tetamu, bilik
kuliah, dewan solat utama dan galeri.
Dengan gabungan seni bina
tradisi Islam dan Asia Barat, masjid berkenaan disempurnakan Duli Yang
Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada 11 Mac
1988.
Homestay Sungai Sireh
Selesai sahaja
lawatan di ‘Masjid Biru’, kami dibawa menaiki bas untuk ke destinasi
seterusnya iaitu Homestay Sungai Sireh yang terletak, di Tanjong Karang.
Sejurus
tiba di lokasi, kami disambut dengan alunan bunyi paluan kompang yang
memecah kesunyian, sekali gus membuatkan tetamu berasa dihargai.
Homestay
Sungai Sireh mula beroperasi pada 5 April 1995 dengan menggunakan
konsep keluarga angkat iaitu pelancong atau penduduk tempatan yang hadir
boleh menginap di rumah penduduk di situ dan mencuba pelbagai aktiviti
menarik mengikut pakej disediakan.
Hampir setiap minggu homestay berkenaan menerima kunjungan tetamu sama ada dari luar negara atau tempatan.
Saya
turut berkesempatan melakukan pelbagai aktiviti antaranya menanam padi,
memancing ikan, mewarna batik canting serta mengelilingi sawah padi
menaiki trem.
Terpesona cahaya semula jadi kelip-kelip
Senja
mula menjelma menandakan kegelapan malam bakal menyelimuti permukaan
bumi sambil ditemani cahaya keindahan bulan dan bintang.
Saya dibawa merasai sendiri keindahan cahaya semula jadi serangga kelip-kelip dengan menyelusuri sungai Kampung Kuantan.
Cetusan
cahaya itu antara nikmat alam semula jadi di kawasan yang terletak
sejauh 60 kilometer dari kepesatan bandar raya Kuala Lumpur.
Menariknya, serangga unik kelip-kelip ini adalah antara koloni kumbang daripada spesis Lampyridae terbesar, di dunia.
Tenaga
Nasional Berhad turut komited mengangkat Kampung Kuantan sebagai salah
satu tarikan pelancong di bawah program tanggungjawab sosial korporat
dengan menandatangani perjanjian persefahaman dengan Kerajaan Negeri,
pada 2006.
Sky Mirror persis Salar De Uyuni
Sky
Mirror yang juga digelar Salar De Uyuni Malaysia adalah tarikan terbaru
di Kuala Selangor, malahan ia amat sesuai buat pencinta alam semula
jadi juga peminat fotografi.
Setiap gambar dirakam ibarat cermin
besar yang dihamparkan secara semula jadi dengan langit dilihat atas
cerminan air menghasilkan suasana menakjubkan.
Fenomena
seperti itu tidak kerap berlaku, namun ia hanya akan terjadi enam hari
setiap bulan mengikut kalendar lunar masyarakat Cina iaitu pada hari
pertama, kedua, 12, 15, 16 dan 30.
Manakala, waktu berlaku air
surut pula antara jam 10.30 pagi hingga 11 pagi. Pengunjung perlu bijak
merancang perjalanan untuk mendapatkan keunikan ‘pulau misteri’ itu.
Sekinchan mendamaikan
Digelar
Jelapang Padi Selangor, Sekinchan bukan hanya terkenal dengan sawah
padi tetapi kaya dengan pelbagai hasil bumi antaranya buah-buahan dan
lokasi penting untuk hasil laut.
Saya dibawa ke Muzium Padi atau
Pusat Maklumat Pertanian Padi di Jalan Tali Air 5, Ban 2, Sekinchan,
untuk melihat aktiviti memproses padi menjadi beras bermula daripada
menanam hingga siap dipasarkan.
Tidak lengkap perjalanan jika
tidak berkunjung ke Ah Ma House bersebelahan Muzium Padi yang mengimbau
zaman kanak-kanak dengan pelbagai makanan serta permainan penuh
nostalgia.
Ah Ma ialah perkataan Hokkien yang bermaksud nenek.
Perniagaan utamanya menjual biskut tradisional seperti kuih tart nenas,
kuih bangkit dan kuih kapit hasil resepi turun-temurun.
Menariknya, ia turut menjual pelbagai barangan antik antaranya teko lama, mangkuk tingkat dan seterika.
Sebenarnya,
masih banyak lokasi menarik yang boleh anda kunjungi di Selangor. Yang
penting, anda harus bijak merancang perjalanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan