ANALISIS membuktikan
bahawa manifesto Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang baru dilancarkan
mempunyai visi negara yang lebih berkuasa dan kuat berbanding manifesto
Pakatan Harapan (PH) yang telah dibentangkan tempoh hari.
Empat petunjuk yang diajukan oleh Fareed Zakaria dalam karya beliau ‘From Wealth to Power’ terbitan Princeton University Press digunapakai bagi menilai kuasa negara dari perspektif ‘State-centered Realism’ iaitu autonomi negara (state autonomy), skop tanggungjawab negara (state scope), keupayaan negara mengekstrak sumber (state’s ability to extract wealth), dan kesepaduan negara (state cohesion).
Ringkasnya, negara yang berautonomi
tinggi, memiliki skop tanggungjawab yang luas, berkeinginan (dan mampu)
mengekstrak sumber dalam skala besar, dan bersepadu adalah lebih kuat
dan berkuasa berbanding negara yang berautonomi rendah, memiliki skop
tanggungjawab yang sempit, tidak berkeinginan mengekstrak sumber dalam
skala besar, dan tidak bersepadu.
Dari perspektif geopolitik dan
geostrategi, keempat-empat komponen kuasa negara ini cukup penting dalam
jangka masa panjang di mana Fareed Zakaria mengajukan bahawa ‘sesebuah
negara hanya mampu untuk meluaskan kepentingan politik mereka ke luar
negara apabila terdapat peningkatan relatif kuasa negara mereka’.
Walau bagaimanapun, Manifesto ‘Malaysia
Sejahtera’ yang dilancarkan PAS dan parti BERJASA serta IKATAN dalam
gabungan Gagasan Sejahtera semalam perlu dibaca bersama dua lagi dokumen
yang diterbitkan secara berperingkat iaitu Dokumen Hijau dan Wawasan
Induk Negara Sejahtera (WINS 2051) bagi memahami tawaran kuasa negara
oleh PAS secara komprehensif.
Jika Dokumen Hijau memberi fokus pada
penyelesaian ekonomi politik, dokumen WINS 2051 pula menggariskan
perancangan jangka masa panjang PAS yang dibahagikan kepada tiga fasa
iaitu Fasa 1 (2018-2030), Fasa 2 (2031-2040), dan Fasa 3 (2041-2051). Di
sini sahaja sudah terdapat perbezaan visi geostrategi yang ketara
antara PAS dengan PH.
PH kurang bercita-cita tinggi di mana
dalam Janji 60 PH hanya menyasarkan untuk “memposisikan Malaysia sebagai
kuasa pertengahan (middle power)” (Hlm.155). Posisi ini
berbeza sama sekali dengan PAS yang meletakkan “Fasa 3: Malaysia
Memimpin 2041-2051” dalam tiga struktur antarabangsa utama.
Manifesto PH yang terikat dengan paradigma ‘Liberal-Institutionalism’
dalam hubungan antarabangsa menyaksikan Malaysia sebagai pemain biasa
dalam institusi antarabangsa seperti ASEAN, OIC, dan PBB. Sebaliknya,
Fasa 3 WINS PAS menyasarkan Malaysia menjadi pemimpin di peringkat
serantau, peringkat negara Islam, dan juga dalam kalangan negara sedang
membangun khususnya negara Dunia Ketiga.
Dari sudut autonomi negara (state autonomy),
PAS jelas berbeza dengan PH yang berusaha untuk mengurangkan kuasa
negara melalui “Janji 12: Mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana
Menteri dan menstruktur semula Jabatan Perdana Menteri” serta
“tanggungjawab lain [JPM] akan diturunkan kepada kementerian-kementerian
yang bersesuaian” di samping “Mengurangkan bilangan agensi di bawah
Jabatan Perdana Menteri dengan cara memindahkan seberapa banyak agensi
yang mungkin ke kementerian yang berkaitan”.
PAS sebaliknya mengukuhkan kuasa Eksekutif dan dalam masa yang sama mengusulkan penubuhan Institusi Hisbah Rakyat (People Ombudsman)
sebagai pemantau (Manifesto halaman 5). Perbezaan ini cukup penting
dalam penentuan darjah autonomi negara di mana ‘pengukuhan kuasa
Eksekutif’ menjamin ‘pemusatan kuasa dalam pembuatan keputusan’. Maka,
proses pembuatan keputusan tidak terjejas dek persaingan antara
kepentingan Kementerian-kementerian berbeza seperti mana dalam kes Janji
12 PH.
Khusus tentang keupayaan negara mengekstrak sumber (state’s ability to extract wealth), Janji 60 PH yang meletakkan negara di bawah piawaian (dan kawalan komitmen) luar seperti OECD, Bank Dunia, Open Government Partnership, Open Contracting Partnership, Open Budget Initiative,
dan sebagainya (Hlm 153), adalah bertentangan dengan PAS di mana ia
tetap meletakkan kuasa politik sebagai peneraju utama yang bebas
mengatur perjalanan ekonomi mengikut acuan sendiri.
Hal ini dinyatakan dalam salah satu
daripada Prinsip WINS 2051 iaitu Prinsip kelima ‘Peranan jelas dan cekap
antara kuasa Politik dan kuasa ekonomi. Kuasa Politik sebagai penentu
halatuju negeri, perancang program, dan pemantau. Kuasa Ekonomi
melaksanakan perancangan yang diputuskan dengan kepentingan rakyat
sebagai keutamaan’.
Tidak hairanlah, antara panduan WINS
yang membawa kepada penguasaan ‘kuasa politik’ ke atas ‘kuasa ekonomi
ini’ ialah tanggungjawab negara dalam Surah Quraisy dan al-Kahfi. Surah
Quraisy yang dimaksudkan ialah “Yang telah memberi makanan untuk
menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan” (ayat 4).
Surah al-Kahfi pula merujuk pada ayat “Berilah aku potongan-potongan
besi, Hingga apabila besi itu telah sama rata dengan kedua (puncak)
gunung itu, berkatalah Zulkarnain: Tiuplah (api itu)” (ayat 96).
Juga dari perspektif keupayaan negara mengekstrak sumber (state’s ability to extract wealth), PAS turut mengajukan rancangan Penggantian Import (Import Substitution):
“Negara perlu mengambil langkah berani
dan drastik dengan menggubal polisi-polisi sementara bagi menukarkan
keperluan kepada barangan import dengan barangan domestik
khususnya berkaitan dengan projek-projek kerajaan…Sekali gus produk dan
perkhidmatan inovasi negara mesti diberi ruang agar dapat memasuki
pasaran untuk dikomersilkan. Memandangkan produk inovasi selalunya
melibatkan sesuatu yang baharu dan tidak mempunyai “track record”
yang kuat, program yang sesuai mesti diwujudkan agar inovasi-inovasi
tempatan dapat memasuki pasaran dan diwaktu yang sama mengurangkan
risiko yang diambil oleh pihak pembeli. Contohnya sebahagian daripada
keperluan projek milik kerajaan mestilah diperuntukkan kepada inovasi
tempatan. Hanya jika tiada inovasi tempatan yang sesuai, barulah
diperolehi daripada produk tempatan yang lain, sebelum dibuka kepada
produk import”.
“Di bawah dasar Penggantian Import ini juga, kerajaan perlu memberi fokus kepada inisiatif “localization” di mana produk dan perkhidmatan tertentu dibantu untuk dibangunkan di dalam negara. Inisiatif “localization”
tidak melibatkan inovasi, tetapi lebih kepada pengeluaran produk yang
sama di dalam negara, yang sebelum ini hanya ada di luar negara. Ini
hanya melibatkan produk dan perkhidmatan yang mana keperluannya telah
pun dipastikan ada”.
“PAS menjangkakan cadangan-cadangan ini
bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan terhadap barangan import
lantaran susut nilai ringgit, ianya juga dapat mempertingkatkan
permintaan terhadap keluaran domestik seterusnya membantu merangsang
sektor pengeluaran tempatan khususnya kepada perusahaan kecil dan
sederhana”.
“Cadangan ini juga akan sekali gus
memperkasakan industri inovasi tempatan yang bakal menjadi pemacu kepada
negara sebagai sebuah ekonomi berasaskan ilmu dan inovasi. Program yang
memberi peluang khusus bagi pengkomersilan produk inovasi tempatan juga
akan meningkatkan pelaburan swasta dalam aktiviti Penyelidikan dan
Pembangunan bukan hanya di organisasi mereka, bahkan juga di institusi
pengajian tinggi tempatan” (Dokumen Hijau PAS halaman 24-25).
Dari perspektif ‘skop negara’ (state scope),
Prinsip Kelima WINS 2051 PAS ini mengatasi Janji 60 PH di mana kerajaan
lebih bebas untuk merencana pembangunannya tanpa ikatan atau komitmen
luar yang memaksa kerajaan meminimumkan perbelanjaan awam. Kerajaan yang
mengurangkan perbelanjaan awam dinamakan ‘Minimal state’ manakala kerajaan yang meningkatkan perbelanjaan awam seperti negara berkebajikan dinamakan ‘Maximal state’. Jika PH memilih laluan menjadikan Malaysia sebagai ‘Minimal state’, PAS pula jelas memilih aliran ‘Maximal state’ yang lebih kuat.
Bertentangan dengan Janji 27 PH untuk
memansuhkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016, PAS tidak memilih
jalan yang sama di mana sasaran pindaan akta PAS hanya ditumpukan pada
SOSMA, POTA, POCA, OSA, dan AUKU, bukannya MKN. Seperti mana penegasan
Fareed Zakaria tentang pentingnya ‘kesepaduan negara’ (state cohesion),
demikianlah peri pentingnya kesepaduan Majlis Keselamatan Negara di
mana ‘pembuatan keputusan yang terpusat menjamin keupayaan dan kecekapan
sesebuah negara’ dalam bertindak ketika di masa krisis mahu pun
konflik.
Konklusinya, Manifesto PAS menganjurkan
rancangan Malaysia ke arah negara yang berautonomi tinggi, memiliki skop
tanggungjawab yang luas, berkemampuan mengekstrak sumber dalam skala
yang besar, dan pentadbiran yang bersepadu berbanding Manifesto PH.
Sama-sama kita nantikan rancangan kuasa negara dalam Manifesto Barisan
Nasional (BN) pula.
*ABDUL MUEIN ABADI
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan