Khamis, 15 Mac 2018

Dr Mahathir patut dekatkan diri dengan Allah bukan berpolitik - Ahmad Dusuki

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Selangor Ahmad Dusuki Abd Rani menyarankan Tun Dr Mahathir Mohamad agar banyakkan amal ibadah di usianya kini daripada terus bergelumang dengan politik.
 
Ahmad Dusuki berkata era Dr Mahathir sudah berlalu dan amat wajar sekali beliau memberi peluang kepada pemimpin lain dalam Pakatan Harapan (PH), untuk mengemudi haluan gagasan itu.
 
"Saya nampak bahawa lebih baik dia fokus untuk saat menghadap depan Allah daripada dia fokus terhadap perkara-perkara yang sebegini.
 
"Sebab sekarang ini bukan masa dia dah, bagilah peluang kepada orang lain pula untuk generasi-generasi yang muda memimpin negara ini," katanya kepada Antarapos.
 
Ahmad Dusuki berkata demikian mengulas kesediaan Dr Mahathir untuk menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), malah bersetuju untuk sekali lagi dinamakan sebagai calon perdana menteri pembangkang. 
 
"Dia sendiri itu banyakkan bertaubat, iktifar dan mempersiapkan diri saat dia menghadap depan Allah," katanya.
 
Dr Mahathir kini berdepan risiko parti tajaannya PPBM dibubarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) selepas melanggar perlembagaan partinya sendiri.
 
RoS melalui Akta Pertubuhan mengarahkan PPBM agar menyerahkan maklumat serta dokumen termasuk minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta penyata kewangan parti kepada badan itu untuk disiasat.
 
Ia berikutan RoS sebelum ini menerima aduan daripada lebih 400 ahli PPBM yang yakin Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu dibuat secara tidak sah.
 
Mengulas perkembangan itu, Dr Mahathir berkata jika PPBM dibubarkan, beliau sanggup bertanding di bawah tiket mana-mana parti politik dalam PH termasuk DAP.
 
 

Tiada ulasan: