Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
SHAH ALAM: DAP akan berdepan dengan banyak lagi siri ahli akar umbinya
keluar parti berikutan masih ramai yang tidak puas hati parti itu
menjalinkan hubungan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata DAP
perlu akur percaturannya berganding erat dengan Dr Mahathir mencetuskan
kemarahan ramai ahli akar umbinya.
"DAP paling tak puas hati bila (Pakatan Harapan) lantik Tun Mahathir
sebagai ketua, sebab kita tahu DAP antara parti yang paling sakit
dibawah pemerintahan Tun Mahathir dulu.
"Jadi kenapa perlu kita mengangkat orang yang pernah mengkhianati kita?," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan 38 ahli DAP Kampar dan Tapah
keluar parti semalam selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan
parti dan tidak setuju dengan kerjasama DAP dengan bekas Perdana Menteri
itu.
Ini bukan kali pertama ahli akar umbi DAP keluar parti disebabkan Dr Mahathir.
Pada Februari 2017, seramai empat wakil rakyat DAP keluar parti - juga atas alasan yang sama.
Mereka ialah, Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him serta Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Goh Leong San; Lim Jack Wong (Bachang)
dan Chin Choong Seong (Kesidang).
Terdahulu pada Disember 2016, Perwakilan DAP, Shamseer Singh Thind
mengisytiharkan beliau keluar parti berkuat kuasa serta-merta selepas
berang DAP menerima Dr Mahathir sebagai sebahagian daripada pembangkang.
Mengulas lanjut Salawati berkata DAP mahupun Pakatan Harapan (PH) sedar
masih ramai yang hingga kini tidak sepenuh hati menerima Dr Mahathir.
"Memang ada suara tersembunyi menganggap Tun sebagai liabiliti, cuma
macam mana Pakatan Harapan memainkan isu itu, sembunyikan dan tutup (Dr
Mahathir sebagai liabiliti).
"Dia cuba potretkan benda tu (sebagai) ok, tapi sebenarnya kalau kita
cari suara-suara di bawah ini memang mereka tak suka (akan Dr Mahathir).
"Saya dapat lihat waktu AGM DAP memang ramai ahli yang marah dan kecewa dengan keputusan itu", ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan