Selasa, 6 Mac 2018

Berhati-hatilah dengan penipuan pusat panggilan

THE MALAYSIAN TIMES
 


BANGKOK: Dalam tempoh hanya dua bulan tahun ini, pihak berkuasa Thailand memberkas 18 rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dengan aktiviti penipuan pusat panggilan atau lebih dikenali sebagai ‘Macau Scam’.

Duta Besar Malaysia di Thailand Datuk Jojie Samuel berkata beliau mengambil maklum tentang perkara berkenaan dan sejajar dengan itu, beliau menggesa individu lain supaya sentiasa berwaspada terhadap cubaan pihak tertentu untuk menjerumuskan mereka ke dalam jenayah tersebut ketika berada di Thailand.

“Berhati-hatilah dengan penipuan melalui telefon ini (penipuan pusat panggilan), janganlah mudah terpedaya dengan kata-kata manis bahawa mereka akan memberi kepada anda jumlah bayaran tertentu. Selidikilah dengan lebih mendalam, banyak perbuatan menipu melalui telefon berlaku sekarang,” katanya dalam wawancara dengan Bernama di sini haru-baru ini.

Beliau berkata walaupun sebahagian daripada tanggungjawab kedutaan Malaysia di sini adalah untuk menjaga kepentingan rakyat Malaysia semasa mereka berada di Thailand, tetapi mereka sendiri juga perlulah sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang negara tuan rumah.

Menurut Jojie, yang memulakan tugas beliau di sini dua bulan lepas, rakyat Malaysia yang didapati melanggar undang-undnag Thailand akan dikenakan hukuman mengikut undang-undang tempatan.

Beliau berkata jika di Thailand, rakyat Malaysia ditangkap kerana disyaki menjadi anggota sindiket penipuan itu, di Malaysia pula pihak berkuasa menahan beberapa rakyat Thailand kerana disyaki melakukan jenayah serupa.

Berikutan peningkatan jumlah mangsa dan kerugian besar yang mereka alami, pihak berkuasa Thailand mengambil tindakan keras terhadap pelakunya, yang menurut media tempatan, lazimnya diketuai rakyat Taiwan.

Enam daripada 18 rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dengan aktiviti penipuan itu, diberkas pada 5 Jan di beberapa hotel di daerah Sukhumvit dan Huai Kwang. Berikutan penangkapan itu, polis merampas daripada mereka kad ATM, buku akaun, kad kredit, kad SIM dan wang dalam mata wang Baht serta Ringgit Malaysia.

Menurut polis Thailand, kira-kira 1.2 juta Baht (kira-kira RM153,000) wang mangsa telah dibawa keluar dari negara ini oleh lelaki berkenaan, yang sering berkunjung ke Thailand.

Di samping memberkas rakyat Malaysia yang disyaki menjadi anggota sindiket penipuan itu, polis Thailand juga menyelamatkan beberapa rakyat Malaysia yang diperdaya dan dipaksa bekerja dengan sindiket berkenaan, seperti yang berlaku pada November tahun lepas.

Akibat tergoda oleh janji mereka akan diberi pekerjaan bergaji tinggi di Bangkok, sekumpulan enam anak muda Malaysia terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita, akhirnya tertipu dan dipaksa bekerja dengan sindiket didalangi rakyat Taiwan itu, yang akan bertindak kasar sekiranya mereka enggan mematuhi arahan mereka.

Enam rakyat Malaysia yang ditahan polis Thailand sejak November tahun lepas itu dihantar pulang ke tanah air mereka baru-baru ini.

Pembabitan rakyat Malaysia dalam aktiviti penipuan pusat panggilan di Thailand itu juga menarik perhatian Bukit Aman, yang akan memberi lebih banyak tumpuannya terhadap perkara berkenaan.

Perkara itu dinyatakan ketua Jabatan Siasatan Jenayahnya, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd baru-baru ini.

Dalam temu bual dengan Bernama di sini, beliau berkata penglibatan rakyat Malaysia dalam sindiket penipuan itu perlu diberi fokus.

“Dulu, penipuan cara ini dilakukan rakyat Afrika, China atau Taiwan di Malaysia, tetapi kini, rakyat Malaysia pula yang datang ke Thailand untuk menipu orang di sini,” kata beliau.– Bernama

Tiada ulasan: