Nga Kor Ming berkata, Pandikar perlu menjelaskan
mengapa laporan ketua audit negara berhubung 1MDB tidak dibentangkan di
Parlimen, jika benar syarikat itu tidak melakukan sebarang kesalahan.
KUALA LUMPUR: Tiga ahli Parlimen DAP enggan memohon maaf kepada speaker Dewan Rakyat, sebaliknya mendesak Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjawab soalan mengenai 1MDB.
Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang mewakili 2 lagi wakil rakyat parti itu berkata, Pandikar perlu menjelaskan mengapa laporan ketua audit negara berhubung 1MDB tidak dibentangkan di Parlimen, jika benar syarikat milik kerajaan itu tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Soalan pertama, sekiranya tidak berlaku sebarang penyelewengan, mengapa laporan ketua audit negara berhubung 1MDB tidak dibentang di Parlimen, sebaliknya Akta Rahsia Rasmi diperkudakan untuk melindungi skandal terbesar ini.
“Soalan ke-2, DoJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat) telah fail tuntutan dan mengapa kerajaan sehingga kini enggan memberi penjelasan mengenai tindakan diambil pihak berkuasa asing ke atas skandal 1MDB.
“Kami bertanya di Parlimen, tapi speaker menuntut kami mohon maaf. Kami sedang tunggu speaker menjawab soalan kami dulu.” katanya di luar Dewan Rakyat hari ini.
Semalam, Pandikar menghantar notis kepada Nga, Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar dan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham untuk memohon maaf kerana menuntut speaker Dewan Rakyat itu meletak jawatan.
“Saya memberi peluang kepada Yang Berhormat untuk memohon maaf secara terbuka di dalam dewan atas tuduhan yang dibuat terhadap speaker.
“Kegagalan Yang Berhormat meminta maaf akan menyebabkan tindakan tegas diambil terhadap Yang Berhormat,” kata Pandikar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan