Oleh Ainor Rahim
SETIAWANGSA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad
menolak tawaran Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali untuk
bertanding di kerusi Parlimen Gombak.
Mantan perdana menteri itu menjelaskan beliau hanya mempertimbangkan
untuk bertanding sama ada di Parlimen Langkawi, Kubang Pasu mahupun
Putrajaya sahaja.
"Kita belum bincang tentang kerusi di mana. Bagi saya, pilihan saya
ialah Langkawi ataupun Kubang Pasu ataupun Putrajaya. Saya belum
terfikir tentang Gombak lagi.
"Ya, terima kasih banyak-banyak. Saya sudah putuskan sama ada antara
ketiga-tiga kerusi-kerusi berkenaan," katanya kepada pemberita selepas
majlis pelancaran rasmi PPBM Bahagian Setiawangsa di sini malam tadi.
Maklum balas beliau merujuk kepada tawaran yang dibuat Azmin baru-baru
ini, yang dilaporkan sebagai berkata Menteri Besar Selangor itu bersedia
melepaskan kerusi Parlimen Gombak yang dipertahankannya sejak dua
penggal lalu untuk ditandingi Dr Mahathir sekiranya dipersetujui PKR.
Di saat pakatan pembangkang itu sedang memuktamadkan soal pembahagian
kerusi secara spesifik, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM sebelum ini
berkali-kali menyatakan kesediaan untuk bertanding pada PRU14
membabitkan antara tiga kerusi Parlimen iaitu Putrajaya, Langkawi atau
Kubang Pasu.
Dr Mahathir juga dinamakan sebagai calon perdana menteri sementara PH,
yang bakal bergandingan dengan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan
Ismail sebagai timbalannya jika pakatan itu menang pada Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Dalam pada itu beliau turut mengulas berkenaan pengisytiharan kira-kira
100 ahli PPBM Klang termasuk daripada sayap Pemudanya yang bertindak
keluar parti dan menyertai Umno semalam.
Ujarnya, sokongan ahli PPBM tetap utuh biarpun terdapat segelintir yang bertindak 'menyeberang' parti.
"Mereka boleh tinggalkan parti. Tidak mengapa. Setakat 100 orang, tiada
apa jika dibanding dengan ini, penuh. Mereka boleh tinggalkan. Mungkin
mereka diberi sedikit 'insentif'. Jadi mereka boleh keluar.
"Orang tidak ada keinginan untuk berjuang menentang Najib tidak diperlukan disini," ujarnya ringkas.
Kesemua ahli PPBM yang bertindak keluar memberi alasan yang sama
seperti sebelum ini, iaitu mendakwa hilang keyakinan terhadap pucuk
pimpinan parti dan PH.
Pembantu Wakil Pendaftaran Keahlian PPBM Klang Mohd Hazwan Zulkifly
mendakwa mereka, termasuk beberapa individu yang memegang jawatan Exco
Pemuda, sudah muak dengan permainan politik pemimpin PPBM yang
mementingkan diri dan kroni.
Polemik ahli hilang kepercayaan yang seterusnya memutuskan keluar PPBM
sekali lagi kembali hangat meskipun baru sahaja mengadakan Mesyuarat
Agung Tahunan (AGM) pertamanya bulan lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan