Isnin, 15 Januari 2018

Rakyat Johor boleh bangga dengan Internet percuma

AKHBAR RAKYAT



Dalam revolusi budaya siber, banyak perubahan berlaku khususnya dalam pembangunan teknologi komunikasi dan maklumat.

Perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat yang semakin pesat bukan sahaja memberi kesan positif kepada masyarakat untuk lebih maju ke hadapan.

Tetapi ia juga adalah satu gelombang yang tidak boleh dihalang atau dihentikan. Ia adalah satu fenomena global dan ia akan menjadi semakin rancak dan pesat.

Jalur lebar tanpa wayar atau bahasa mudahnya wifi misalnya, bukan lagi suatu perkara yang asing dalam kehidupan seharian. Tanpa kita sedari, wifi sudah menjadi satu keperluan yang kritikal bagi sebahagian besar masyarakat kita.

Tidak kiralah apa bidang pekerjaan, latar belakang bangsa atau status sosial, wifi atau kemudahan Internet adalah sesuatu yang menjadi keperluan kepada semua orang. Termasuklah kita di Johor.

Tanpa jaringan internet yang baik, ia bukan sahaja menyukarkan komunikasi. Malah boleh membantutkan banyak perkara seperti transaksi komersial dan perniagaan, proses pembelajaran serta urusan harian agensi kerajaan dan swasta.

Mencakupi kawasan luar bandar

Sehubungan dengan itu, adalah penting untuk kita menganalisis kepekaan serta keprihatinan kerajaan negeri berhubung perkara ini. Adakah ia diberikan perhatian yang sewajarnya? Atau sebaliknya?

Secara asasnya, Johor adalah antara negeri terawal yang menyediakan kemudahan wifi percuma kepada rakyatnya. Inisiatif yang dikenali sebagai Johor Wifi ini mula diperkenalkan semasa era pentadbiran Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai menteri besar Johor.

Kemudahan ini seterusnya diperluas dan diperbaiki saban tahun seperti yang dapat dilihat dalam kesemua pembentangan Bajet Johor dari tahun 2016 hingga 2018.

Pada tahun 2016, iaitu tahun pertama pengenalan Johor Wifi, sebanyak 135 hotspot telah dipasang di sekitar 16 kawasan PBT terpilih dengan peruntukan sebanyak RM4.4 juta.

Inisiatif ini satu permulaan yang baik. Malah ia tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, tetapi turut mencakupi kawasan luar bandar.

Pada tahun 2017, Johor Wifi telah diperluaskan ke lebih banyak kawasan luar bandar dengan pemasangan sebanyak 50 hotspot lagi di daerah-daerah yang terlibat.

Manakala sebanyak 20 hotspot baharu dipasang dan naik taraf kapasiti kelajuannya di 135 lokasi PBT seluruh Johor.

Menyedari pemintaan terhadap kehendak internet di kawasan bandar meningkat maka kerajaan negeri memperkenalkan pakej premium Johor Wifi. Pakej ini menyediakan perkhidmatan Johor Wifi melalui sistem prabayar yang bernilai RM5 dan RM10.

Perkhidmatan ini diperkenalkan bagi membolehkan pengguna mendapat capaian internet pada kelajuan internet yang lebih tinggi mengikut tempoh yang ditetapkan.

Petunjuk munasabah

Terbaru, dalam Bajet 2018, kerajaan negeri mengumumkan untuk memperluaskan rangkaian wifi ke 70 lokasi lagi.

Pelaksanaan pada tahun ketiga ini turut melibatkan kerjasama dan sumbangan Syarikat Berkaitan Kerajaan milik kerajaan Johor iaitu Johor Corporation dengan pertambahan pemasangan sebanyak 768 hotspot.

Usaha baik ini bukan sahaja mampu merancakkan komunikasi dan melancarkan urusan harian. Malah bertujuan merapatkan jurang teknologi antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Kita harus melihat segala inisiatif besar ini dari beberapa sudut.

Pertama, benar, sudah pastilah Johor Wifi ini merupakan satu inisiatif masih belum sempurna. Akan ada kekurangan dan kelemahan pelaksanaannya di sana sini. Namun, setidak-tidaknya ini adalah satu langkah awal yang sangat positif dan progresif.

Kedua, sebagai masyarakat awam di Johor, adalah penting untuk kita mengambil faedah dan memanfaatkan segala kemudahan ini dengan sebaiknya. Janganlah ia disalah guna dan dipersiakan untuk perkara-perkara yang tidak mendatangkan pulangan yang baik.

Ketiga, perkara seperti ini harus dijadikan sandaran dan ukuran untuk kita menilai prestasi sesebuah kerajaan. Ia boleh menjadi petunjuk yang munasabah untuk menggambarkan tahap keprihatinan pemerintah kepada masyarakat umum.

Yang pasti, masyarakat Johor boleh tersenyum bangga dan menarik lafaz lega. Kerana dalam kebanyakan hal yang melibatkan aspek kemaslahatan serta kesejahteraan sosial, negeri ini sudah jauh terkehadapan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia, termasuklah Selangor dan Pulau Pinang.


Natasha Azmi merupakan ahli Persatuan Intelektual Muda Johor.

Tiada ulasan: