PETALING JAYA: Tempoh reman pengarah dan pelakon, Datuk Farid Kamil
Zahari yang ditahan bagi membantu siasatan terhadap dakwaan dia menampar
seorang anggota polis dan menyepak orang awam, Khamis lalu, dilanjutkan
sehari lagi.
Perintah reman sehingga esok itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar,
Hairul Azhar Mohd. Ishak di Mahkamah Majistret di sini hari ini mengikut
Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Farid, 37, sebelum ini direman selama empat hari bermula 12 Januari lalu yang sepatutnya berakhir hari ini.
Pelakon yang popular dengan filem Tombirou dan Lagenda Budak Setan itu
ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 90 Akta Polis atas
kesalahan berkelakuan tidak senonoh di balai polis; Seksyen 323 Kanun
Keseksaan atas kesalahan menyepak orang awam; Seksyen 353 Kanun
Keseksaan kerana menampar anggota polis dan Seksyen 15(1) Akta Dadah
Berbahaya 1952 atas dakwaan memasukkan dadah dalam badan.
Terdahulu, Farid yang memakai baju kemeja berwarna kelabu dan berseluar
lokap berwarna ungu tiba di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 11.30
pagi.
Dia diiringi anggota polis keluar pada pukul 12.32 tengah hari setelah
melalui prosiding reman yang mengambil masa kira-kira sejam dan dibawa
menaiki kereta polis jenis Proton Preve.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan