PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir ke
Bukit Aman pagi tadi bagi memberi keterangan berhubung isu tukar hak
milik tanah FELDA, di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Mohamad Fuzi turut tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung isu sama.
"Kita dah panggil dia (Isa) dan saya rasa keterangan sudah selesai
diambil. Ada beberapa individu lain yang kita percaya ada kaitan dengan
kes ini akan turut dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi
keterangan.
"Tapi tidak perlulah saya dedahkan siapa identitinya, sebelum ini juga
ada beberapa individu lain sudah kita ambil keterangan," katanya dipetik
Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan bahawa FELDA berisiko kehilangan hak ke
atas tiga lot tanah strategik di Jalan Semarak, yang dianggarkan
bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik
menerusi transaksi diragui sejak 2015.
Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FELDA Investment
Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai
pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full
power of attorney - PA) bagi membangunkannya.
Berikutan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas
bagi menyiasat transaksi pindah milik tanah yang didakwa mencurigakan
itu termasuk tidak menolak kemungkinan memanggil Isa bagi membantu
siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan