Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
PETALING JAYA: PPBM Bahagian Temerloh hari ini mengakui tidak
mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian sebagaimana
dakwaan Ketua Bahagiannya, Amerus Che Onn.
Bagaimanapun Timbalan Ketua Bahagian itu, Mohd Anuar Aziz berkata
perkara itu dibolehkan memandangkan usia penubuhan bahagian itu belum
genap setahun.
Dalam sidang media bagi membidas dakwaan Amerus yang dibuat pada 2
Januari lalu, Mohd Anuar menambah perlembagaan PPBM juga membolehkan
mesyuarat agung tahunan (AGM) dijalankan meskipun ada cawangan atau
bahagian belum mengadakan mesyuarat.
"Saya hendak menjawab apa yang dilakukan oleh Amerus pada 2 Januari
lalu yang mendakwa AGM PPBM tidak sah, atas alasan cawangan dan bahagian
tidak buat mesyuarat. Saya hendak jelaskan cawangan PPBM masih belum
ditubuhkan dan PPBM Bahagian Temerloh belum lagi genap setahun kerana ia
ditubuhkan pada Julai 2017.
"PPBM Bahagian tidak perlu membuat mesyuarat. Dalam AGM baru-baru ini
perwakilan G7 (dipilih bahagian) berkecuali tidak perlu hadir, yang
wajib hadir G8 (lapan jawatan pimpinan tertinggi peringkat bahagian),"
kata Mohd Anuar sambil memaklumkan perwakilan G7 tidak perlu hadir
memandangkan mereka belum lagi mengadakan mesyuarat di peringkat
bahagian dan cawangan.
Amerus pada Selasa lalu bertindak membuat laporan kepada Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menggesa siasatan dilakukan terhadap parti
itu berikutan AGM yang berlangsung pada 30 Disember lalu tidak mengikut
perlembagaan parti.
Dalam sidang medianya selepas itu, Amerus turut mendakwa kononnya AGM
PPBM 'syok sendiri' berikutan memperjuangkan kepentingan individu
tertentu dan tiada inisiatif untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti.
AGM tersebut yang dihadiri 941 perwakilan daripada 137 bahagian,
diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam selepas diberikan
amaran oleh RoS.
Amerus berkata AGM pertama itu hanya memberi tumpuan kepada pimpinan
tertentu sahaja dan perwakilan bahagian tidak diberi hak untuk
menyuarakan pandangan.
Amerus turut mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meletak jawatan
sebagai pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan kerana hanya memperjuangkan
kepentingan peribadi.
Susulan tindakan Amerus itu, Mohd Anuar menggelarnya sebagai
pengkhianat parti kerana membuat dakwaan sedemikian terhadap PPBM malah
gesaan peribadinya terhadap Dr Mahathir.
"Saya kecewa sehingga dia sanggup menyarankan Pengerusi PPBM meletak
jawatan. Ini keterlaluan sebab pada saya ini bukan sahaja menyinggung
PPBM, tetapi menghina PH. Apa yang didakwanya tidak ada asas kukuh
melainkan kepentingan sesuatu," katanya.
Mohd Anuar dalam masa yang sama memaklumkan Amerus mempunyai masalah disiplin sebaik sahaja dilantik sebagai ketua bahagian.
"Kami AJK Bahagian Temerloh memang menolak kepimpinan dia atas beberapa
alasan namun tidak sesuai untuk saya ulas satu satu. Cuma saya hendak
terangkan selepas dia dilantik, dia tidak menjalankan aktiviti-aktiviti
parti, tak beri perhatian, taklimat di pejabat juga dia abaikan.
"Selepas dilantik sebab dia menawarkan diri menjadi ketua bahagian dan
berjanji mahu lakukan terbaik untuk parti tetapi lepas sahaja dilantik,
sudah nampak perubahan. Tanggungjawab dan aktiviti bahagian hanya dibuat
oleh kami," kata Mohd Anuar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan