PUTRAJAYA: Tempoh reman dua individu bergelar ‘Datuk’ yang ditahan bagi
membantu siasatan berhubung kes penyelewengan projek terowong dasar
laut di Pulau Pinang, disambung selama lima hari lagi bermula hari ini.
Perintah reman sehingga Jumaat itu dikeluarkan oleh Majistret Khir Nizam Jemari di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Terdahulu, kedua-dua suspek itu tiba secara berasingan di mahkamah
tersebut kira-kira pukul 9.15 pagi dengan berpakaian lokap Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tangan bergari.
Minggu lalu, seorang individu yang menjawat jawatan sebagai timbalan
pengerusi sebuah syarikat hartanah dikenakan perintah reman oleh
Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang, manakala seorang lagi
individu pula yang merupakan pengarah eksekutif kanan di sebuah syarikat
hartanah direman di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini.
Kedua-dua suspek itu sebelum ini direman selama enam hari sehingga hari ini.
Penahanan mereka dibuat susulan daripada serbuan SPRM ke beberapa
pejabat agensi kerajaan di Kompleks Tun Abdu Razak (Komtar), 9 Januari
lalu, berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut.
Turut diserbu dalam operasi itu adalah beberapa syarikat berkaitan yang beroperasi di sekitar Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan