PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyelar dakwaan tidak
berasas oleh pihak tertentu konnonya terdapat empat juta pengundi pos
dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan merangkumi anggota Jabatan
Sukarelawan Malaysia (Rela).
Pengerusinya, Tan Sri Mohd.Hashim Abdullah dalam satu kenyataan hari
ini menjelaskan, anggota Rela tidak tertakluk sebagai pengundi pos dan
dakwaan berkenaan telah menyalah erti kategori Sukarelawan Simpanan
Polis Diraja Malaysia (PVR).
Katanya lagi, SPR telah menetapkan kategori-kategori tertentu termasuk
polis dan tentera sebagai pengundi pos namun jumlah sebenar pengundi
berkenaan hanya dapat ditentukan selepas semua permohonan dibuka dan
diterima.
"Perkara 3(1) hingga (4) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian
Pos) 2003, menetapkan bahawa mana-mana warganegara yang sudah mendaftar
sebagai pemilih boleh mengundi secara pos, dengan syarat mereka perlu
tergolong dalam satu daripada kategori yang ditetapkan oleh SPR.
"Sehingga PRU Ke-13, SPR menetapkan beberapa kategori pengundi dalam
negara yang boleh memohon untuk menjadi pengundi pos, iaitu anggota
tentera dan anggota polis yang tidak dapat hadir semasa hari pengundian
awal, selain petugas media dan petugas pilihan raya yang bertugas di
luar bahagian pilihan raya mereka berdaftar.
"Bagi kategori pemilih di luar negara pula, kakitangan awam yang
berkhidmat di luar negara dan pasangan, pelajar sepenuh masa yang
belajar di luar negara dan pasangan, serta rakyat Malaysia yang
disenaraikan sebagai Pengundi Tidak Hadir turut diberikan kemudahan
pengundian secara pos," katanya dalam kenyataan itu.
Justeru tegasnya, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan berniat untuk mengelirukan rakyat.
Mengulas mengenai saranan supaya SPR mengamalkan pengiraan undi awal
pada hari yang sama selepas pengundian seperti yang dilakukan oleh
negara lain, Hashim berkata, SPR berpandangan ia tidak praktikal kerana
akan mempengaruhi pola pengundian pada hari mengundi.
"Jika sebahagian keputusan diketahui lebih awal, ia dikhuatiri akan
mempengaruhi sentimen sesetengah pihak dan menjejaskan pola pengundian,
bahkan selang dua hari sebelum hari mengundi juga dikhuatiri akan
menggalakkan berlakunya situasi di luar kawalan, terutama dalam aspek
salah laku kempen dan keselamatan awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan