PUTRAJAYA: Semua sekolah di Putrajaya tidak lagi melaksanakan sistem
pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid pada sesi
persekolahan 2018.
Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Roaini Jaafar
berkata konsep itu turut mendapat sambutan ibu bapa kerana para pelajar
tidak lagi diasingkan untuk pencapaian akademik, sebaliknya digabungkan
dalam kelas sama dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) selaras
dengan pembelajaran abad ke-21 di 14 sekolah kebangsaan dan 26 sekolah
menengah.
“Ini membolehkan pelajar cemerlang yang menguasai ilmu membaca, mengira
dan menulis bekerjasama dan membimbing pelajar kurang cemerlang supaya
dapat membantu satu sama lain. Kita tidak lagi mengasingkan kerana kita
tidak mahu mementingkan pencapaian akademik semata-mata.
"Pendidikan mempunyai banyak aspek antaranya kerjasama, komunikasi,
kolaborasi dan kreativiti yang perlu didedahkan kepada anak-anak dan
mahu mereka menolong antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui
selepas mengadakan tinjauan sesi persekolahan hari pertama di Sekolah
Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1) hari ini.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin baru-baru ini berkata
amalan pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid dan
sekolah kawalan dihentikan, manakala kaedah pengasingan rasmi seperti
Ujian Kemasukan Tahun Satu juga perlu dimansuhkan sepenuhnya bermula
2019.
Beliau dilaporkan berkata amalan berkenaan bukan dasar pendidikan namun
dilakukan pihak sekolah bagi meningkatkan pencapaian akademik mengikut
Gred Purata Sekolah (GPS).
Mengulas lanjut, Roaini berkata pelajar tingkatan 4 dan 5 diasingkan
mengikut pemilihan aliran dan mata pelajaran serta pengasingan tersebut
dibuat bukan berdasarkan akademik tetapi kecenderungan pelajar.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK
Putrajaya Presint 11 (1), Mohd Shahizan Abdullah berkata pihaknya
menyambut baik cadangan di sekolah itu dan ibu bapa turut bersetuju
serta memahami langkah positif dalam meningkatkan keberkesanan
pembelajaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan