Rabu, 3 Januari 2018

MCA, Gerakan tampilkan perpaduan pada Perhimpunan ‘Teguh Bersama’

ANTARAPOS
 


KUALA LUMPUR: Perhimpunan MCA-Gerakan Teguh Bersama yang dijadualkan pada Sabtu ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan kerja antara kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN).

Ia juga untuk melahirkan komitmen dan tekad dalam persiapan bersama bagi pilihan raya umum akan datang dan menampilkan pencapaian masing-masing, kata setiausaha agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan dan rakan sejawatannya dari Parti Gerakan Datuk Liang Teck Meng pada sidang media di sini semalam.

Mereka berkata MCA dan Gerakan mempunyai pengalaman kerjasama meliputi tempoh sangat lama di bawah struktur BN terutama dalam menegakkan tadbir urus kesederhaaan dan berbilang bangsa.

“Kedua-dua parti mendukung misi memerangi ekstremisme dan melindungi hak bukan Islam, dan kerjasama kami menjana hasil yang efektif,” kata mereka dalam satu kenyataan yang dibacakan dalam bahasa Inggeris dan Cina.

Sementara itu, Ong berkata sejak dua bulan lepas, presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong memimpin kumpulan masing-masing dalam lima perbincangan.

“Kami mencapai kesepakatan yang baik. Strategi telah dirangka tentang bagaimana ungtuk mengukuhkan hak dan peluang masyarakat Cina dan memastikan mereka memainkan peranan lebih besar dalam wawasan negara ke arah pembangunan,” kata beliau.

Ong menegaskan bahawa matlamat itu bukan sahaja untuk menyatukan komuniti Cina tetapi menyatukan semua masyarakat.

“Sebagai titik permulaan, MCA dan Gerakan bersedia menjadi contoh melalui kerjasama mengadakan “MCA-Gerakan Teguh Bersama’,” katanya.

Perhimpunan yang akan diadakan di Dewan San Choon, Wisma MCA di sini dijangka dihadiri oleh kira-kira 2,000 peserta terdiri daripada pemimpin pusat, negeri dan tempatan dari kedua-dua parti.

Liow dan Mah dijangka menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Tiada ulasan: