Rabu, 3 Januari 2018

Perwakilan DAP desak pemilihan semula CEC, dakwa tidak ikut arahan ROS

THE MALAYSIAN TIMES
 


BUTTERWORTH: DAP hari ini didesak mengadakan semula Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu kerana didakwa tidak mengikut arahan yang ditetapkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Bagan Luar G.Asoghan mendakwa pemilihan parti pada 12 Nov lepas yang dikendalikan Grant Thornton, sebuah firma audit bebas, tidak mengikut 10 syarat yang dikemukakan RoS termasuk tidak mempamerkan senarai penuh nama perwakilan yang layak mengundi berserta nombor kad pengenalan mereka dalam akhbar pelbagai bahasa.

Beliau berkata kertas undi juga tidak mempunyai nombor siri selain proses kiraan undi yang dibuat secara tertutup tanpa sebarang pemerhati dan wakil calon yang boleh menyebabkan berlakunya manipulasi terhadap kertas undi.

“Setakat ini sebanyak 15 perwakilan dan anggota DAP sudah bagi surat aduan berhubung perjalanan pemilihan semula CEC yang diadakan pada 12 Nov lalu. Kami mahu RoS mengambil perhatian serius berhubung perkara ini.

“Kami mahukan pemilihan yang bersih. Mengapa kertas undi hanya perlu tulis nombor dan bukan nama calon. Mengapa tak bagi tulis nama. Mereka boleh ubah suai kertas undi itu dengan menukar nombor itu, sebagai contoh nombor 1 boleh ditukar kepada 11 atau 21,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Pemilihan semula pada 12 Nov lepas, diadakan susulan arahan RoS pada 17 Julai supaya DAP mengadakan semula pemilihan CEC berikutan jabatan berkenaan belum menerima dan mengiktiraf pemilihan parti yang dijalankan oleh DAP pada 15 Dis 2012 dan pemilihan semula pada 29 Sept 2013.

Pada pemilihan 12 Nov lepas, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng kekal menganggotai CEC selepas mendapat antara undi terbanyak. Kit Siang, selaku pemimpin veteran DAP memperoleh 1,199 undi manakala anaknya Guan Eng memperoleh 1,180 undi dan kekal sebagai setiausaha agung parti.

Dalam pada itu, Asoghan menggesa Guan Eng memberi penjelasan mengapa memilih Grant Thornton, yang berpangkalan di Amerika Syarikat, walaupun akar umbi dan anggota parti tidak bersetuju parti menggunakan firma audit bebas berkenaan bagi mengendalikan proses pemilihan semula parti itu.

Beliau turut mempersoalkan sama ada DAP boleh menggunakan logo roket untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 kerana sehingga hari ini RoS tidak mengesahkan pemilihan semula CEC parti itu.– Bernama

Tiada ulasan: