Jumaat, 12 Januari 2018

Mana ada pembangkang hantar senarai calon disaring – Dzulkifli

Muhamad Izwan Mohd Zubit



KUALA LUMPUR – Setakat ini, tidak ada mana-mana parti pembangkang menghantar senarai calon mereka untuk proses saringan, kata Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Dzulkifli Ahmad
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, hanya calon Barisan Nasional yang diterima mereka dari semasa ke semasa dan ia dibuat secara sukarela serta dijamin kerahsiaannya.

“Pembangkang setakat ini tiada, hanya parti politik kerajaan. Kita terima senarai ini dari semasa ke semasa,

“Saringan calon dibuat secara sukarela dan SPRM akan menjaga kerahsiaan senarai yang diberikan. Selepas terima senarai, kita buat saringan dan kemudian kembalikan keputusan kepada parti politik,” beliau dipetik berkata.

Jelas beliau, SPRM hanya membantu parti politik membuat saringan ke atas calon mereka dan tidak mempunyai kuasa untuk menghalang calon itu daripada bertanding walaupun terdapat rekod rasuah melibatkan mana-mana calon parti politik.

“Kita hanya bantu parti politik yang nak buat saringan ke atas calon-calonnya.

“Kita faham dari segi perundangan seseorang itu layak bertanding sehinggalah dia didapati bersalah oleh mahkamah dan dikekalkan hukumannya sehingga ke peringkat mahkamah persekutuan.

“Sekarang pun dah ada yang kita tuduh dan nak dibicarakan. Tapi saya tak tahu lah sama ada mereka akan jadi calon lagi atau tidak,” katanya.

Menurut Dzulkifli, tidak ada undang-undang spesifik yang boleh menghalang mana-mana parti politik daripada meletak calon mereka walaupun sedang dalam siasatan mahkamah sekali pun. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: