Jumaat, 12 Januari 2018

Tak pernah saya larang sesiapa ziarah banduan – Tun M

Muhammad Azizul Osman
Presiden PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad berbincang sesuatu dengan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ketika menunggu kebenaran melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Ceras, Selangor. foto IQBAL BASRI, 
 
KUALA LUMPUR – Selepas gagal bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau tidak pernah melarang sesiapa untuk menziarah banduan semasa memegang jawatan itu.

Mahathir yang memegang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun berkata, tidak pernah mana-mana pemimpin tertinggi negara yang melarang sebarang lawatan untuk berjumpa pesakit atau banduan, samada ia ahli politik atau orang biasa.

“Saya kecewa dan sedih. Apakah yang sudah jadi pada negara kita ini. Tidak pernah mana-mana Perdana Menteri Malaysia sebelum ini melarang sebarang lawatan untuk berjumpa pesakit atau banduan, samada ia ahli politik atau orang biasa.

“Saya, semasa menjadi Perdana Menteri, tidak pernah menghalang mana-mana banduan, termasuk Datuk Seri Anwar, diziarahi oleh sesiapa,” tulis beliau dalam Facebook rasminya hari ini.

Semalam Pengerusi PH itu tidak dibenarkan bertemu Anwar di Hospital Pemulihan Cheras atas alasan arahan pihak berkuasa.

Anak sulung Anwar, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dilaporkan mengiringi calon Perdana Menteri PH itu.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, tujuan beliau untuk bertemu bekas timbalannya adalah untuk mengucapkan terima kasih kerana Anwar telah bersetuju dengan cadangan PH untuk beliau dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.

“Apabila saya dicalon sebagai bakal Perdana Menteri untuk Pakatan Harapan, tiga buah parti bersetuju, tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak membuat keputusan.

“Namun pada saat terakhir PKR bersetuju. Saya percaya persetujuan ini adalah oleh kerana pengasas PKR, Datuk Seri Anwar dapat mengatasi perasaannya dan mengutamakan kepentingan negara lebih dari perasaan diri sendiri. Jelas Anwar, seperti semua kami dalam PH mengutamakan penyingkiran Najib lebih mustahak dari permusuhan antara kami dahulu.

“Bukan mudah bagi Anwar terutamanya. Tetapi jelas Anwar utamakan negara lebih dari dirinya,” katanya. – MalaysiaGazette.


Tiada ulasan: