SLIM RIVER: Seorang juruvideo yang juga penerbit sambilan maut apabila
kenderaan yang dipandunya merempuh belakang treler di Kilometer 90,
Jalan Kuala Lumpur-Ipoh arah utara, dekat sini, tengah malam tadi.
Ketika nahas jam 12.30 tengah malam itu, mangsa, B Subramaniam, 44,
dipercayai dalam perjalanan pulang dari pekan Slim River ke rumahnya di
FELDA Trolak Utara.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof,
berkata siasatan awal mendapati sebelum kejadian, pemandu treler berumur
49 tahun yang dalam perjalanan dari Bukit Beruntung ke Ipoh,
memberhentikan kenderaan di lorong kanan jalan akibat rosak, kira-kira
jam 7 malam.
Katanya, pemandu berkenaan memasang kon dan lampu kecemasan di belakang
treler sebelum sebuah trak tunda datang untuk menunda kenderaan itu ke
bengkel berdekatan.
"Ketika memasang alat untuk menunda treler, tiba-tiba datang sebuah van
yang dipandu mangsa melanggar kon yang diletakkan sepanjang jalan lalu
merempuh belakang kenderaan berat itu.
"Pemandu treler yang ketika itu berada di belakang kenderaannya sempat
mengelak dan lari menyelamatkan diri manakala mangsa tersepit akibat
pelanggaran dan maut di tempat kejadian," katanya dilapor BH Online.
Wan Kamarul Azran berkata, semua pekerja trak tunda tidak cedera dan mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan