Ahad, 21 Januari 2018

Persempadan Semula: SPR gagal patuhi Perlembagaan Persekutuan

AKHBAR RAKYAT



Ahli Parlimen Sedang, Dr. Ong Kian Ming berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ternyata gagal mematuhi Perlembagaan Persekutuan dalam melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Selangor.

Beliau berkata demikian merujuk kepada Syor 2 Persempadanan Semula kawasan pilihan raya di Selangor yang dikeluarkan oleh SPR 15 Januari lalu.

“Sekali imbas Syor 2 mengembalikan sempadan kerusi-kerusi di Selangor kepada sempadan yang digunakan dalam pilihan raya umum 2013, dengan pengecualian kepada lima kerusi parlimen dan pertukaran nama satu kerusi parlimen dan empat kerusi negeri.

“Tetapi, dengan kembali kepada satus quo PRU13, SPR telah menunjukkan bahawa ia gagal mencapai salah satu daripada objektif persempadanan semula dibuat, iaitu untuk mengurangkan ketaksamaan antara jumlah pengundi dalam kerusi parlimen atau negeri,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai contoh kata beliau, kerusi parlimen Kapar (146,317 pengundi) masih empat kali ganda jumlah pengundi daripada pengundi di parlimen Sabak (37,126) dalam Syor 2.

Adalah sukar bagi SPR yang bebas dan tidak memihak untuk menggunakan hujah “pertimbangan faktor luar bandar” bagi perbezaan empat kali ganda ini di negeri seperti Selangor ini kerana malahan kawasan-kawasan seperti Sabak Bernam dan Tanjung Karang mempunyai jalan perhubungan yang sangat baik seperti lebuh raya, tambah beliau.

Pada masa sama kata beliau lagi, SPR gagal mengurangkan ketaksamaan jumlah pengundi di kerusi-kerusi negeri, walaupun ia terletak dalam daerah yang sama.

Sebagai contoh katanya, jumlah pengundi di Seri Serdang dalam Syor 2 adalah 74,563 dan di Kinrara 34,910, sedangkan kedua-dua kerusi tersebut di bawah kerusi parlimen P103 Puchong dan sama-sama di bawah juridiksi Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Hakikat bahawa jumlah pengundi Seri Serdang yang dua kali ganda daripada jumlah pengundi Kinrara ini, walaupun kedua-duanya kerusi bandar, merupakan suatu pelanggaran kepada Seksyen 2(C) Peraturan 13 Perlembagaan Persekutuan, kata anggota parlimen DAP itu.

“Bagi sebuah negeri yang mengalami pertumbuhan pesat seperti Selangor, apa yang perlu dilakukan SPR ialah menambah jumlah kerusi parlimen dan juga negeri untuk mengurangkan percanggahan jumlah pengundi di kerusi negeri dan juga parlimen.

Menurut beliau, Seksyen 2(C) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa jumlah pengundi dalam satu-satu kawasan pilihan raya negeri mestilah lebih kurang sama kecuali atas pertimbangan sama ada bandar atau luar bandar.

Tiada ulasan: