Khamis, 4 Januari 2018

Jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat, 6,784 mangsa setakat pagi ini

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUANTAN: Hujan yang berterusan dengan kadangkala lebat mengakibatkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di seluruh Pahang meningkat kepada 6,784 orang daripada 1,843 keluarga pagi ini, berbanding 4,870 daripada 1,337 keluarga malam tadi.
 
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Zainal Yusoff, berkata, Lipis menjadi daerah terbaru dilanda banjir apabila tujuh mangsa daripada satu keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
 
Kuantan masih menjadi daerah paling ramai mangsa banjir iaitu 5,166 orang membabitkan 1,444 keluarga ditempatkan di 24 PPS, manakala di Rompin 652 mangsa daripada 174 keluarga ditempatkan di sembilan PPS.
 
"Jumlah mangsa banjir di Pekan ialah 687 orang daripada 169 keluarga ditempatkan di tiga PPS, Maran pula seramai 220 mangsa daripada 49 keluarga di tiga PPS, manakala Jerantut 52 mangsa daripada enam keluarga berlindung di tiga PPS," katanya dipetik Berita Harian.
 
Sementara itu, berdasarkan laman web infobanjir.water.gov.my sehingga jam 8 pagi ini, jumlah sungai yang melepasi tahap merah atau bahaya di Pahang terus meningkat kepada enam berbanding empat, petang semalam.
 
Enam sungai berkenaan adalah Sungai Lepar di Jambatan Gelugor (30.08 meter), Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan (10.71 meter), Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut (52.46 meter), Kuala Sungai Chini, Pekan (14.97 meter) dan Sungai Belat di Sri Damai (5.84 meter).
 
Selain itu, tiga sungai turut melepasi tahap jingga atau amaran iaitu Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut (66.82 meter), Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran (18.73 meter) dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi di sini (7.77 meter).
 
 

Tiada ulasan: