Sabtu, 27 Januari 2018

Jangan tolak kemungkinan Parlimen tergantung, kata Ku Li

Jangan tolak kemungkinan Parlimen tergantung, kata Ku Li
Tengku Razaleigh tidak menolak kemungkinan wujudnya situasi Parlimen tergantung apabila tiada pihak berjaya menang majoriti kerusi Dewan Rakyat pada PRU14 sehingga menyebabkan kerajaan perpaduan dibentuk. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
TENGKU Razaleigh Hamzah mengatakan Parlimen tergantung mungkin wujud hasil keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 seterusnya mungkin menyebabkan penubuhan kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, kerajaan sebegitu hanya boleh diterajui oleh seorang pemimpin yang diterima kedua-dua belah pihak yang merupakan ahli Parlimen dengan rekod penyampaian yang cemerlang.

Parlimen tergantung ialah keadaan apabila tiada mana-mana gabungan politik atau parti meraih sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Ahli Parlimen Gua Musang itu mengatakan parti pemerintah mahupun pembangkang akan menerima sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan dan ini akan menyebabkan kewujudan kerajaan perpaduan.

“Ketika berbicara dengan kawan dan rakan taulan, saya mendapati ada yang tidak menafi kemungkinan berlakunya hung parliament di mana Dewan terbahagi dua dengan bilangan kerusi yang sama.

“Ini bermakna pengundi tidak mahu memilih kerajaan semasa untuk terus memerintah. Tetapi mereka juga tidak mahu memindahkan kuasa kepada kumpulan campuran yang menawarkan pilihan alternatif.

“Ini juga mencerminkan kehendak pengundi yang mahu kerajaan padu dan tidak berbelah bagi serta terdiri daripada kesemua pihak berkepentingan politik. Sebenarnya mereka mahukan kerajaan perpaduan nasional,” kata Ku Li pada forum awam anjuran G25 hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika Pakatan Harapan yang memilih Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menterinya akan berdepan Barisan Nasional untuk menjadi kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Gabungan empat parti pembangkang itu kini sedang bersiap sedia bertanding di 165 kerusi Parlimen di Semenanjung.

Di bawah perjanjian disepakati mereka, Bersatu akan bertanding di 52 kerusi, PKR (51), DAP (35) dan Amanah akan bertanding di 27 kerusi Parlimen.

Ahli politik veteran Umno itu menekankan sekiranya situasi kerajaan perpaduan ini terbentuk, seorang pemimpin berwibawa perlu dipilih.

“Sekiranya ini berlaku, semua parti politik harus bersama demi membolehkan badan Eksekutif dipimpin oleh seorang ahli politik yang diterima oleh kedua-dua pihak Dewan Rakyat.

Memandangkan tenatnya kedudukan ekonomi nasional semasa, ahli Parlimen yang dipilih hendaklah mempunyai rekod cemerlang,” katanya.

Bagaimanapun, ahli Parlimen yang menduduki kerusi Gua Musang selama 45 tahun itu tidak menamakan sesiapa.

Ku Li juga memberikan amaran yang kedua-dua belah pihak tidak menggunakan kaedah “berpaling tadah” untuk membentuk kerajaan.

Katanya, “menyogok” pihak lawan bagi menghalang Parlimen tergantung tidak akan diterima baik pengundi.

“Barang diingat bahawa menyogok Ahli Parlimen supaya berpaling tadah merupakan cemuhan terhadap pengundi. Sekiranya mereka mahu sesebuah parti tertentu membentuk kerajaan sudah tentu mereka mengundi parti tersebut dengan sekurang-kurangnya majoriti mudah,” katanya.

Situasi Parlimen tergantung tidak pernah berlaku di Malaysia tetapi krisis di Perak pada 2008 disebabkan beberapa ahli Dewan Undangan Negeri berpaling tadah menyebabkan Barisan Nasional berjaya menakluk negeri itu.

Tiada ulasan: