KLUANG: Hujan lebat lebih dua jam semalam menyebabkan tiga kampung di
Simpang Renggam, dekat sini, banjir dan 348 penduduk dipindahkan.
Kampung Chokro, Kampung Shaari dan Kampung Kolam Air banjir akibat limpahan Sungai Chokro dan Sungai Benut.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Penerangan dan
Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata satu Pusat Pemindahan
Sementara (PPS) dibuka di setiap kampung berkenaan.
Ia membabitkan PPS Balai Raya Kampung Chokro, Masjid As-Sobirin Kampung Shaari dan Dewan Kampung Kolam Air.
"Sebanyak 348 mangsa daripada 82 keluarga itu membabitkan 179 penduduk
(41 keluarga) di Kampung Chokro, 127 orang (32 keluarga) Kampung Shaari
dan 42 orang (sembilan keluarga) di Kampung Kolam Air.
"Ketika ini masih hujan renyai-renyai, namun paras air Sungai Chokro
didapati sudah surut, manakala paras air di Sungai Benut masih dipantau
berikutan sudah melepasi tahap bahaya, " katanya dilapor BH Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan