Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang dijenamakan semula sebagai KR1M 2.0 sudah dibuka dan pelancaran secara rasmi akan diadakan di Temerloh, Pahang pada 4 Februari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata sebanyak 50 buah KRIM 2.0 telah dibuka setakat ini antaranya di Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor.
“Saya mendapat maklumat KR1M yang baharu itu mendapat sambutan baik dalam kalangan rakyat.
Kita akan menukar papan tanda kedai yang asal dengan jenama baharu selepas pelancarannya bulan depan katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Kamaruddin di sini, semalam.
Hamzah berkata konsep KR1M 2.0 sedikit berbeza dengan yang asal KR1M yang berkonsepkan pasar mini dengan menawarkan pelbagai pilihan barangan keperluan harian pada harga 30 hingga 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
Sementara itu Hamzah berkata pihaknya akan mengadakan program Jualan Sentuhan Rakyat di Dataran Selama, dekat sini, sebagai usaha membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan dengan harga murah.
Katanya, program tersebut mendapat kerjasama Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) serta pasar raya.
Program ini diterima baik rakyat kerana ia merupakan salah satu cara untuk kita menangani masalah kenaikan harga oleh orang tengah, katanya sambil menambah program tersebut wajar diadakan sekurang-kurangnya dua kali sebulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan