Khamis, 7 September 2017

Permainan video Jesus dan Buddha undang kemarahan

 
Ia memaparkan ikon agama itu dalam perlawanan satu lawan satu.


fight-1

PETALING JAYA: Satu permainan video baru menimbulkan kontroversi kerana menonjolkan watak “Jesus” dan “Buddha” sebagao karakter utama.

Permainan video “Fight of Gods” diilhamkan oleh permainan seperti “Street Fighter” di mana pemain menggunakan wira pilihan mereka untuk mengalahkan wira pilihan lawan.

Dimajukan oleh Digital Crafter dari Taiwan, permainan itu membangkitkan kemarahan pemimpin agama dan penggemar permainan video.

Ia turut menimbulkan kemarahan beberapa pemimpin agama di negara ini yang menyeru kerajaan mengharamkannya.

“Kerajaan patut segera haramkan permainan video itu atau halang pautan muat turunnya untuk mengelakkan ketegangan agama yang berpotensi berlaku di negara.

“Mana-mana pemimpin agama yang rasional akan kecam permainan itu kerana saya percaya tiada agama yang menggalakkan keganasan dan berlawan sesama sendiri,” kata Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin dipetik akhbar The Sun.

Timbalan Presiden Majlis Penasihat Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) Datuk RS Mohan Shan juga mengutuk permainan itu kerana mengejek agama.

“Ini isu yang sangat sensitif dan tidak dapat diterima. Kita tidak akan boleh menyetujui permainan seperti itu. Kerajaan mesti ambil tindakan segera mengharamkan jualannya di sini.

“Ianya juga tidak sihat untuk kanak-kanak kerana mereka akan mengidolakan watak dalam permainan itu kerana merasakan watak itu lebih berkuasa kerana markah kemenangannya,” kata Mohan kepada The Sun.

Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia, Hermen Shastri juga menimbang tara kontroversi permainan itu.

“Penggunaan nama dan persamaan kepada kedewaan dan tokoh agama dalam terbitan permainan itu adalah kemuncak ketidakpekaan dan sikap tidak hormat,” kata Hermen dipetik oleh akhbar itu.

Selain Jesus dan Buddha, “pejuang” lain termasuklah Odin, Sif, Zeus, Athena, Anubis dan Amaterasu dipaparkan dalam permainan itu.

Nabi Musa dan tokoh bersejarah Cina, Guan Gong, juga dimasukkan dalam permainan itu walaupun mereka bukan dikira sebagai Tuhan atau dewa.

Tiada ulasan: