KUCHING: Semua pengusaha bot tambang di Tebingan Kuching diwajibkan
untuk mematuhi peraturan-peraturan yang termaktub dalam Ordinan Sungai
Sarawak dan Ordinan Perkapalan Saudagar Sarawak, berkuat kuasa November
depan.
Komander Polis Marin Wilayah Lima Sarawak, Asisten Komisioner
Salehuddin Mat Zaman berkata, antara peraturan ini ialah penggunaan
jaket keselamatan dan mengelak membawa lebih penumpang, yang sering
dikesan diabaikan pengusaha ini.
"Nyawa dan keselamatan adalah keutamaan kami dan jika mereka melanggar
peraturan, kami akan teragak-agak mengambil tindakan termasuk
mengeluarkan saman," katanya ketika ditemui pada Program Moh Ngeteh
Merdeka @ KKLW 2017 di Markas Polis Marin Wilayah Lima di sini.
Katanya, pihaknya tidak mahu nasi menjadi bubur dan berusaha untuk
mengelak berlakunya kehilangan nyawa akibat tindakan rakus pengusaha.
"Kerana itu, kita akan melakukan pemantauan rapi, terutama pada setiap
hujung minggu, yang menyaksikan jumlah pelancong yang ramai melawat
kawasan tersebut.
Ketika ini katanya, pihaknya masih mengamalkan pendekatan yang lembut,
dengan hanya memberi nasihat kepada pengusaha terbabit sejak Ogos lalu.
"Akan tetapi kita akan bertegas selepas ini.
Pada masa yang sama katanya, pihaknya telah menugaskan dua buat jet ski
dan empat anggota untuk melakukan rondaan rutin di kawasan tumpuan
pelancongan tersebut bagi menjamin keyakinan pengunjung, terutamanya
pelancong.
"Mereka inilah yang bertanggungjawab memantau perjalanan perahu-perahu
tambang ini, selain pada masa yang sama memastikan tiada pelancong yang
tergelincir, selain melaksanakan tugas cegah jenayah," tambahnya lagi.
Rondaan berlaku dari pagi hingga petang dan akan dipanjangkan hingga malam, jika jumlah pengunjung Tebingan Kuching meningkat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan