SEREMBAN: Bunyi letupan yang kuat dan gegaran dirasai pekerja Pasar
Besar Seremban, di Negeri Sembilan sebelum api yang marak menjilat
bahagian atas pasar berkenaan dalam kebakaran kira-kira pukul 7.30 malam
tadi.
Salah seorang pekerja pasar berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai
Chua Bo Ching, 49, berkata sebelum kejadian dia berada di tingkat bawah
menjalankan kerjanya seperti biasa iaitu menimbang stok sayur daripada
lori dan secara tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan yang sangat kuat
dan terasa ada gegaran di tempat dia berdiri.
"Kebakaran berlaku selepas bunyi letupan itu dan peniaga di sebelah
kedai saya mengetuk zink memanggil saya dan beritahu bahawa pasar sudah
terbakar.
Kemudian saya pandang ke atas dan melihat tingkat atas pasar sudah
terbakar, saya dan rakan-rakan lain berlari menyelamatkan diri...
beberapa minit kemudian pihak bomba sampai," katanya yang dipetik sebuah
agensi portal berita di Seremban, malam tadi.
Lee Kian Mun, 44, yang merupakan peniaga di tingkat bawah berkata
kebakaran tersebut dipercayai bermula di bahagian medan selera tingkat
atas bangunan pasar berkenaan dan api telah merebak sangat cepat
sehingga satu tingkat dijilat api.
"Saya tidak sangka api merebak sangat cepat kerana kawasan
pengudaraannya terbuka dan lebih saya kesian apabila kedai kawan-kawan
saya yang menjual baju, seluar, beg dan beberapa peralatan lain juga
telah musnah terbakar," katanya.
Pasar Besar Seremban mempunyai dua tingkat yang mana tingkat bawah
menjual barang basah manakala tingkat atas antaranya terdapat medan
selera, kedai menjual pakaian dan buah-buahan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan
Norazam Khamis berkata 40 anggota daripada Balai Bomba Seremban,
Seremban 2, Senawang dan Nilai ditugaskan bagi kerja-kerja memadamkan
kebakaran melibatkan enam buah jentera dan sebuah water tanker.
"Berdasarkan siasatan awal, dipercayai api bermula di bahagian tengah
yang merupakan kedai makan sebelum merebak dengan cepat ke bahagian
lain," katanya.
Bomba mengambil masa selama sejam untuk mengawal kebakaran dan bahagian
atas pasar berkenaan musnah keseluruhannya, bagaimanapun bahagian bawah
berjaya diselamatkan.
"Kita akan ambil alih pasar ini selama 14 hari bermula hari ini untuk kerja-kerja forensik," katanya.
Katanya setakat ini pihaknya tidak menerima laporan mengenai mangsa dan anggaran kerugian belum dapat ditafsirkan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban Datuk Abdul Halim Abdul Latif
pula berkata difahamkan sebelum kejadian terdapat petir yang sangat
kuat namun perkara itu akan dirujuk kepada pihak bomba bagi memastikan
sama ada ia benar-benar ada dan berkaitan dengan kebakaran.
Katanya sebanyak 197 buah kedai terdapat di tingkat atas pasar termasuk kedai makan, kedai bunga dan kedai buah.
Mengulas mengenai nasib para peniaga, Abdul Halim berkata pihaknya akan
berunding dengan kerajaan negeri untuk membuat pelan tindakan bagi
membantu dan memudahkan peniaga terjejas supaya dapat meneruskan
perniagaan.
"Untuk masa terdekat ini, esok saya akan datang semula untuk lihat apa
yang boleh kita lakukan, petang esok saya akan panggil Ahli Majlis untuk
berbincang dengan peniaga pasar tentang pelan tindakan yang terbaik
untuk jangka masa terdekat.
Kalau boleh, baiki semula, kita akan panggil perunding lihat setakat
mana kerosakan berlaku dan kalau sesuai digunakan akan tengok juga dari
bekalan airnya termasuk kabel-kabel elektriknya,” katanya.
Dalam kejadian itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad
Hasan tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 10.40 malam bagi meninjau
keadaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan