Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: Susulan situasi keganasan terbaru yang melanda etnik
Rohingya di Negeri Rakhine, PAS menggesa kerajaan Malaysia mengadakan
mesyuarat bersama negara-negara Islam berhubung isu ini.
Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan berkata, Malaysia selaku
negara anggota ASEAN yang dihormati oleh negara-negara anggota yang
lain, boleh memainkan peranan yang lebih besar bagi menyelesaikan isu
kemanusiaan yang melibatkan umat Islam ini.
"Menganjur mesyuarat tergempar negara-negara ummat Islam yang mengambil
berat isu Rohingya seperti Turki, Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan
lainnya supaya mewujudkan pasukan pengaman dan menghantarnya ke
Myanmar," katanya dalam satu kenyataan media.
Sejak beberapa minggu lepas, tidak kurang daripada 164,000 orang Islam
Rohingya terpaksa melarikan diri ke Bangladesh bagi menyelamatkan diri
mereka daripada kekejaman tentera junta Myanmar yang membakar kediaman
dan kampung mereka serta melakukan pembunuhan besar-besaran.
Operasi penghapusan etnik Rohingya di Arakan yang semakin meruncing
mutakhir ini tidak sedikit pun mendapat simpati daripada Kerajaan
Myanmar.
Bahkan katanya lagi, kerajaan negara itu bersikap sengaja membutakan
mata mereka terhadap krisis kemanusiaan ini dan memekakkan telinga
mereka terhadap kutukan dan kecaman yang disuarakan oleh komuniti
antarabangsa.
Menurut Nasrudin lagi, kerajaan juga boleh mengadakan sidang Parlimen tergempar mengenai perkara ini.
"Mengadakan satu sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu ini
justeru suatu pelan tindakan yang melibatkan pelbagai pihak dan sudut
dapat dilulus dan dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan