BAJET 2018 akan
dibentangkan pada 27 Oktober ini. Semua lapisan rakyat dalam negara ini,
sudah tentu ternanti-nantikan pembentangan tersebut yang bakal
dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebelum dibentangkan, orang ramai boleh
memberi cadangan di bawah 14 kategori melalui laman web khas
https://bajet2018.najibrazak.com.
14 kategori itu meliputi ekonomi
digital, kos sara hidup, perumahan dan kehidupan bandar, perkhidmatan
penjagaan kesihatan, pengangkutan dan infrastruktur, pembangunan desa,
alam sekitar dan pertanian, belia dan sukan, budaya dan pelancongan
serta keselamatan awam dan ketelusan.
Diharapkan, melalui inisiatif ini, lebih
ramai anak Malaysia mengambil peluang untuk menjadi lebih proaktif
dalam memainkan peranan masing-masing dalam menyumbang kepada negara.
Adakah anda sudah mengemukakan cadangan anda mengenai Bajet 2018?
Tidak salah mengkritik kerajaan, tetapi apabila kerajaan meminta cadangan mengenai Bajet 2018, berikan cadangan.
Ini tentunya menunjukkan dasar
keterbukaan kerajaan dalam mentadbir negara, mengutamakan pendekatan
‘bottom-up’ berbanding ‘top-down’ selain mendemokrasikan bajet tahunan
negara.
Kini, penyediaan bajet tahunan negara
tidak terhad kepada cadangan pegawai-pegawai kerajaan dan pihak
pentadbir sahaja malah semua rakyat Malaysia turut diberikan peluang
untuk bersama-sama mencatur masa depan negara.
Kemukakan cadangan untuk sama-sama kita membentuk masa depan negara.
Untuk Bajet 2018, sudah pasti pelbagai
isu akan cuba diberi perhatian oleh kerajaan dalam merangka proses
perbelanjaan negara ini terutamanya yang melibat kos sara hidup, hutang
isi rumah, pendidikan, infrastruktur dan pengangkutan awam serta
lain-lain.
Walau apa pun perangkaan bajet yang
bakal diumumkan, pihak kerajaan harus memberi keutamaan terhadap
beberapa isu pokok yang menjadi buah mulut rakyat pada ketika ini.
Antara isu yang menjadi topik hangat dan
tidak sudah-sudah diperkatakan oleh semua pihak adalah isu kos sara
hidup. Isu ini sepatutnya menjadi agenda utama yang perlu ditangani
segera oleh kerajaan dan sudah tentu tidak boleh diketepikan dalam
merangka Bajet 2018.
Dengan pendapatan yang tidak seberapa
dan ada yang tidak mengalami kenaikan gaji tahunan langsung atau
kenaikan yang terlalu sedikit terutamanya dalam sektor swasta, ini sudah
pasti membebankan. Sedangkan, harga-harga barangan keperluan dan
makanan terus meningkat. Ini termasuklah beberapa perkhidmatan awam.
Jika melihat kepada Bajet 2017, bajet
itu bertemakan ‘Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah
Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh’.
Bajet 2017 memperuntukkan RM260.8 bilion, peningkatan 3.4 peratus daripada pengubahsuaian Bajet 2016.
Peruntukan sebanyak RM214.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan
Selain itu, RM77.4 bilion untuk emolumen serta RM32 bilion untuk perkhidmatan dan bekalan
Di bawah peruntukan pembangunan, sektor
ekonomi menerima agihan tertinggi RM25.9 bilion, diikuti sektor sosial
RM12.2 bilion, keselamatan RM5.3 bilion, pentadbiran RM2.5 bilion.
Antara projek dan program kesejahteraan
rakyat yang diberi keutamaan adalah memasang lampu jalan, membina dan
menaik taraf jalan kampung, menyelenggara jalan negeri, membina dan
membaik pulih rumah usang serta daif selain meningkatkan bekalan air
bersih dengan melibatkan peruntukan lebih RM7 bilion.
Turut dilaksanakan, Projek Mesra Rakyat
dengan peruntukan RM800 juta bagi menaik taraf dan membina surau, titi,
parit, balai raya, pasar dan gerai kecil serta 69 projek tebatan banjir
dengan peruntukan RM695 juta.
Peningkatan kadar insentif Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada RM1,200, RM900 dan RM450 dengan
peruntukan keseluruhan RM6.8 bilion pasti disambut gembira oleh
kira-kira tujuh juta penerima.
Ketika membentangkan Bajet 2017, Najib
turut berkongsi maklum balas positif yang diterima daripada seorang
penerima BR1M berketurunan India yang datang dan menggenggam erat
tangannya dalam satu program dihadiri.
Untuk tahun 2018, secara umumnya ini
adalah tahun yang cukup mencabar kepada kerajaan. Pelbagai peristiwa
suka duka yang berlaku sepanjang tahun merangkumi aspek ekonomi, sosial
dan politik menyebabkan pihak kerajaan terpaksa berfikir di luar kotak
dan mengambil pelbagai tindakan kurang popular serta di luar kebiasaan
agar dapat meneruskan keyakinan dan kepercayaan rakyat.
Masalah perpaduan kaum yang dilihat
terus menjadi duri dalam daging serta isu politik dalaman baik UMNO mahu
pun parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain di samping
kemunculan parti-parti baharu menjadikan 2017 sebagai antara tahun yang
dikira cukup genting bagi survival politik baik kepada BN mahupun negara
secara keseluruhannya.
Justeru pembentangan Bajet 2018 pada
kali ini dinantikan oleh seluruh lapisan masyarakat bagi melihat sejauh
mana komitmen kerajaan dalam melakar inisiatif supaya terus menjamin
kesejahteraan dan dapat mengurangkan beberapa masalah rakyat yang
dilihat agak kritikal terutamanya membabitkan peningkatan beban kewangan
yang seterusnya akan menentukan kemampuan sama ada pihak kerajaan dapat
terus menarik sokongan dan keyakinan rakyat ataupun sebaliknya.
Malah cakap-cakap orang politik bahawa
kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal diadakan pada tahun
ini juga dilihat bakal mempengaruhi intipati pembentangan bajet kali
ini.
Untuk memastikan Bajet 2018 merupakan
bajet yang pro rakyat, kita sebagai rakyat perlu tampil memberikan
cadangan supaya bajet kali ini memberikan manfaat kepada seluruh lapisan
masyarakat.
Kerajaan sudah pun menyediakan platformnya, segera ambil peluang dengan idea yang bernas dan konstruktif.
Beritahu kerajaan apa yang anda mahu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan