Rabu, 20 September 2017

Anwar atau Mahathir mungkin U-Turn kepada Umno?

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB



 MAT Taib atau nama penuhnya Tan Sri Muhammad Bin Muhd Taib telah sah menyertai Umno semula.

Penyertaan semula dalam keadaan Umno begitu terdesak mendapatkan tokoh-tokoh,  dan kembali menggunakan propaganda kemasukan ke dalam Umno sebagai strategi berdepan penurunan undi rakyat.

Maka gegak gempita sekali alam siber dan seluruh media online melaporkan kononnya Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan pembubaran Parlimen,  hingga lawatan kerja Timbalannya,  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pun  disingkatkan.

Umpama "bullet" besar yang mahu dibidik Umno tatkala mengumumkan kemasukan semula Mat Taib atau Mike Tyson ini ke khemah lapuk Umno.

Rata rata netizen dan penggemar cerita hangat berteka teki,  ada juga yang buat fitnah melulu kononnya Najib mahu umum kerjasama dengan PAS untuk merampas Selangor.  Nakal dan jahat sekali fitnah di alam siber.

Tuduhan ini dinafi sekeras kerasnya oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor,  Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir di laman Facebooknya dan kemudian mengecam tindakan mereka yang memfitnah itu.

Sementara beberapa lagi sanggahan juga dibuat  atas tuduhan jahat itu.
Muhammad Taib dikenali suatu masa lalu dalam kes membawa jumlah wang yang besar ke luar negara dan kemudiannya "kantoi" .

Penyertaannya dalam PAS tidak pun menberi impak besar apatah lagi  selepas itu beliau menyertai PKR bersama orang kuat Anwar Ibrahim iaitu Datuk Kamaruddin Jaffar yang pernah menjadi Pengarah Urusan Harakah dan Setiausaha Agung PAS.

Muhammad Taib juga diketahui agak rapat dengan Anwar Ibrahim, namun tidak serapat hubungan Anwar dengan Najib ketika dalam team Pemuda Umno suatu masa lalu.

Ini menjadi sejarah, dan pastinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tahu hubungan baik Najib Anwar sementelahan Zahid juga berada dalam pasukan yang sama.

Begitu juga beberapa penghubung Anwar dengan Najib iaitu antaranya Datuk Johari Abdul orang kuat BTN suatu masa lalu dan tidak dinafikan Datuk Saifudin Nasution Ismail juga berperanan melalui abangnya yang menjadi orang kanan Najib iaitu Datuk Shahlan Ismail.

Ingat sahaja pelan rekonsilasi nasional yang disebutkan dibincang antara Najib dan Anwar sebelum Pilihan Raya Umum 13 lalu di dedahkan sendiri oleh bekas bekas saksi kejadian.

Usah lah menuduh PAS mahu ber "UG" dengan Umno tatkala PAS berulang kali menyatakan tidak akan bersama dengan Umno.

Malah apa yang diperhatikan Umno sebenarnya lebih dekat parti Bersatu,  PKR dasarnya tidak jauh berbanding Umno.

Tidak mustahil dalam keadaan terdesak mendepani politik Tun Mahathir dalam menjelang PRU 14 ini,  Anwar akan dikembalikan ke dalam Umno semula oleh rangkaian yang disebutkan tadi.

Apatah lagi ia strategi yang paling ampuh untuk melumpuhkan PKR yang kini berpecah belah angkara beberapa pemimpin tidak sehaluan.

Dan tidak mustahil bagi Najib yang terdesak mempertahankan survival politiknya dengan membebaskan Anwar dari penjara, kemudiannya menjadikan Anwar sekutu rapatnya dalam mendepani PRU 14.

Apatah lagi dalam keadaan Pakatan Harapan sudah punah Harapan bagi Anwar untuk memujuk PAS bersama.

Sedang Anwar tahu hakikat bahawa undi Melayu juga boleh datang dengan jumlah besar dari PAS.

Ataupun Mahathir sendiri akan kembali kepada Umno selepas melihat PH yang dipimpinnya berantakan tidak keruan hala tuju, dengan sikap DAP yang semakin dominan ditambah Bersatu yang kian hilang punca apabila ramai pengasasnya keluar parti seperti Datuk Hamidah Othman.

Ini sifir yang tidak boleh dinafikan kerana dalam politik apa juga boleh terjadi,  apatah lagi Najib naik jadi PM ketika kempen Mahathir menjatuhkan Pak Lah berjaya dilaksana.

Hakikatnya PAS tidak berasa kehilangan Anwar ketika ini, apatah lagi kalau Mahathir ‘u turn’ kepada Umno.

Tetapi lebih terasa adalah penyokong Anwar dan Mahathir merasai kehilangan dan kekecewaan jika dua bekas orang kuat Umno kembali melutut ke dalam parti yang telah menjadikan mereka seteru politik. – 
 
 

Tiada ulasan: