Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
PUTRAJAYA: Urus niaga Bank Negara Malaysia (BNM) dengan mata wang asing
(forex) sekitar tahun 1990-an menyebabkan bank pusat itu mengalami
kerugian berjumlah RM9.4 bilion.
Perkara itu didedahkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Ainum Mohamad Saaid
ketika memberi keterangan di prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja
(RCI) yang memasuki hari kelima pada hari ini.
"Ya," ujarnya ringkas apabila ditanya oleh panel RCI, Datuk Wira
Kamaludin Md Said berkenaan jumlah kerugian yang ditanggung BNM pada
tahun berkenaan.
Ainum, saksi ke-15 juga menyatakan bahawa meskipun Pejabat Peguam
Negara 'tidak memberikan jawapan atau hala tuju khusus' berkenaan
kesahihan urus niaga BNM-Forex, perkara itu bagaimanapun bertentangan
dengan Ordinan Bank Pusat.
"Apa yang saya ingat adalah kami diberikan beberapa peruntukan
undang-undang, di bawah Ordinan Bank Pusat yang mana menyatakan bahawa
BNM tidak boleh melakukan urus niaga, ia juga tidak ada bidang kuasa
untuk melakukan urus niaga forex," katanya lagi.
Sementara itu Ainum tidak dapat mengesahkan dakwaan bekas pegawai audit
di Pejabat Audit Negara, P. Kanason yang sebelum ini mengatakan
pihaknya tidak dibenarkan mempersoal kesahihan urus niaga BNM-forex itu.
"Saya tidak ingat ada kata 'orang atasan cakap jangan masuk campur'," demikian responnya.
Kanason, dalam prosiding 20 Ogos lalu mendakwa BNM tidak mengendahkan
amaran bahawa urus niaga antara BNM dan mata wang asing itu melanggari
undang-undang, selain mendapati hasil urus niaga harian dicatatkan
sehingga RM50 juta.
Bukan itu sahaja Kanason yang mengetuai pasukan audit kewangan BNM dari
1985 hingga 1992 memberitahu tidak ada maklumat direkodkan di dalam
perpustakaan BNM berkenaan mengapa ia memutuskan untuk menjalankan urus
niaga mata wang asing itu.
Selain Kanason, pembantu khas bank kepada bekas Gabenor Negara, Tan Sri
Jaafar Hussein juga memaklumkan 'kerugian besar' daripada urus niaga
berkenaan.
Liew Siew Kuan, saksi ke-11 juga mendakwa Jaafar turut terkejut dengan
jumlah kerugian yang dicatatkan sebanyak RM9 bilion dan memintanya untuk
memeriksa akaun BNM.
Liew kemudiannya bertindak memaklumkan hal kerugian itu kepada
kerajaan, bagaimanapun beliau memaklumkan 'kerajaan tidak percaya
kerugian sebanyak itu'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan