MALAYSIA DATELINE
Gabenor
baru Bank Negara Malaysia yang bakal menggantikan Tan Sri Dr. Zeti
Akhtar Aziz bukan dalam kalangan orang politik. Malah, individu itu juga
bukan dalam kalangan pegawai kerajaan lapor portal Malaysiagazette.
"Sebelum ini memang ada dua nama tetapi satu sudah menolaknya. Jadi
memang ada satu nama sahaja setakat ini," menurut sumber Putrajaya.
Sumber itu bagaimanapun enggan mendedahkan individu terlibat tetapi memaklumkan ia adalah dalam kalangan 'orang Bank Pusat'.
Tambah beliau, Kementerian Kewangan sudah pun menerima nama calon
kepada pengganti Zeti daripada Lembaga Pengarah Bank Negara baru-baru
ini.
Setakat ini, katanya, tidak benar spekulasi yang mengaitkan nama-nama
tertentu termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan
Serigar sebagai gabenor baru Bank Negara Malaysia.
Selain Irwan, turut dikaitkan bakal menduduki kerusi Gabenor Bank
Negara Malaysia. Mereka ialah Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk
Seri Dr. Awang Adek Hussin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Seri Abdul Wahid Omar dan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr. Noor Azlan
Ghazali.
Meskipun, pemilihan gabenor bukan prerogatif Lembaga Pengarah Bank
Negara tetapi sudah tentu kerajaan mengambil kira pandangan mereka,
katanya.
Katanya, khabar angin yang mengaitkan nama-nama tertentu bertujuan memberi sentimen negatif kepada kerajaan.
Lantaran itu, kerajaan enggan melayan laporan sedemikian - termasuk menafikannya.
Sumber itu menambah, sudah tentu pengumuman pelantikan gabenor akan dibuat bila tiba masanya.
"Kerajaan percaya Bank Negara sudah bersedia untuk menghadapi
peralihan kuasa dan tugas. Tidak perlu terkocoh-kocoh memandangkan Tan
Sri Zeti masih dalam tempoh perkhidmatannya.
"Masa itu akan tiba. Sedikit masa lagi," ujarnya.
No comments:
Post a Comment