Tuesday, March 22, 2016

Mutfi: Perbuatan 'bomoh tembikai' bodoh, sia-sia

MALAYSIAKINI




Mufti Perlis menyeru masyarakat bukan Islam tidak mengaitkan upacara ‘raja bomoh’ Ibrahim Mat Zin untuk memulihkan cuaca panas menggunakan tembikai dengan Islam.

Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, di samping ayat al-Quran yang dibaca Ibrahim tidak betul sebutannya, ia juga disifatkan sebagai tahyul dan tidak diiktiraf oleh Islam.

“Agama Islam tidak membenarkan penganutnya melakukan perbuatan bodoh dan sia-sia.

“Apatah lagi disertakan dengan pembaziran seperti ini. Buah untuk dimakan bukan untuk di bazirkan secara sia-sia,” katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya semalam.




Menerusi sebuah rakaman video, Ibrahim menggunakan lima biji tembikai yang dipecahkan bersama empat orang lagi pengikutnya sambil melaungkan “Allahu Akbar”.

Turut dipaparkan dalam video sepanjang 1 minit 53 saat itu Ibrahim memulakan ritual dengan membaca beberapa ayat daripada surah Yasin diikuti bacaan doa.

Ibrahim sebelum ini pernah menjadi perhatian selepas mengadakan ritual mencari pesawat hilang Malaysia Airlines (MAS) menggunakan buah kelapa dan bubu ikan.

Arah doa minta hujan

Sementara itu, Asri dalam satu kenyataan juga meminta semua imam di masjid seluruh negeri Perlis membaca doa istisqa (minta hujan) di dalam khutbah kedua pada hari Jumaat.

“Adalah dimaklumkan bahawa jabatan Mufti Negeri Perlis telah menyediakan khutbah (kedua) khas yang mengandungi doa Istisqa bagi memohon kepada Allah SWT untuk diturunkan hujan bagi mengatasi kepanasan melampau di negeri itu pada masa ini.

“Doa ini hendaklah dibaca oleh para imam semasa khutbah minggu ini,” kata Asri.

Berikutan pola cuaca El Nino bulan ini, Malaysia dijangka mengalami cuaca lebih panas daripada biasa dan jumlah hujan yang kurang.

Kementerian Kesihatan Jumaat lepas juga melaporkan pihaknya menerima sebanyak 11 kes kelesuan haba dan tiga strok haba berikutan cuaca panas yang sedang melanda negara.

Semua sekolah di Kedah dan Perlis ditutup selama dua hari bermula hari ini berikutan cuaca panas melampau itu.


No comments: