Monday, March 28, 2016

Guan Eng 'lari' dari media, beri alasan ada temu janji

Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sekali lagi 'melarikan diri' dan menimbulkan rasa berang wartawan yang menunggu untuk mendapatkan penjelasannya berhubung pembelian sebuah rumah banglo mewah di Jalan Pinhorn dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di tanah Taman Manggis.  
 
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu diasak wartawan ketika beliau cuba keluar dari Dewan Rakyat.
 
Beliau bagaimanapun berjalan laju menuju ke keretanya dan memberi alasan ada temujanji lain di luar.
 
"Saya ada temujanji, sila beri laluan kepada saya," katanya sambil menuju ke keretanya dan terus beredar dari Parlimen.
 
Selain isu banglo mewah dan Taman Manggis, wartawan juga ingin mendapatkan maklum balas pemimpin itu mengenai ADUN Duyong dari DAP, Goh Leong San yang diisytihar sebagai wakil rakyat Bebas berkuat kuasa hari ini.  
 
Ketua Menteri itu pada minggu lepas telah ingkar arahan Speaker Dewan agar tidak menganggu perbahasan sidang Parlimen.
 
Ahli Parlimen Bagan itu dilihat cuba menganggu Dewan selama satu jam ketika perbahasan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rahman Dahlan, yang mahu mendedahkan tentang skandal Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengenai penyelewengan Taman Manggis.
 
Sejurus Guan Eng dihalau keluar dari Dewan, Rahman mendedahkan bahawa perbuatan menganggu perbahasan itu sengaja dilakukan pemimpin DAP itu agar boleh 'terlepas' daripada menjawab pendedahan mengenai Taman Manggis. 


No comments: