KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menangani El-Nino dan
Cuaca Kering bersetuju dengan definisi gelombang haba (heatwave) yang
digunakan oleh Jabatan Meteorologi.
Menurut definisi itu Tahap 0: Suhu di bawah 35 Celsius (Pemantauan);
dan Tahap 1: Suhu maksimum antara 35C hingga 37C selama tiga hari
berturut-turut (Keadaan berjaga-jaga).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau
dalam kenyataannya semalam berkata, Tahap 2: Suhu maksimum melebihi 37C
untuk tiga hari berturut-turut (pengisytiharan 'heatwave' oleh MOSTI
bagi pihak lain mengambil tindakan selanjutnya seperti penutupan sekolah
dan sebagainya);
Tahap 3: Suhu melebihi 40C untuk 3 hari berturut-turut (Pemakluman
kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Perdana Menteri akan
mengisytiharkan kecemasan).
Katanya, pemantauan cuaca terkini oleh pihak MetMalaysia pada hari ini,
setakat jam 4.00 petang di sembilan lokasi adalah seperti berikut: Batu
Embun, Pahang (37.0C); Chuping, Perlis (37.0C); Keningau, Sabah
(37.0C); Prai, Pulau Pinang (37.0C) dan Temerloh, Pahang (36.0C).
Manakala Lubok Merbau, Perak (36.0C); Ipoh, Perak (36.0C); Kuala Krai, Kelantan (36.0C); dan Alor Star, Kedah (36.0C).
Katanya, keadaan yang sama dijangka juga berlaku pada esok (22 Mac).
Kejadian jerebu tempatan juga akan turut terjadi kesan daripada cuaca
panas dan aktiviti manusia seperti industri, kenderaan bermotor dan
pembakaran hasil buangan sisa pertanian.
"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan pembakaran terbuka terutamanya yang melibatkan aktiviti perkhemahan.
"Pada masa yang sama, orang ramai turut dinasihatkan supaya menghadkan
aktiviti luar semasa keadaan cuaca panas terutamanya di sebelah petang,"
katanya.
No comments:
Post a Comment