Sehari selepas Kongres Rakyat berlangsung di Shah Alam semalam, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengaku negara ini sedang mengalami 'krisis pemerintahan'.
Katanya, keadaan itu menyebabkan negara kini mengalami masalah 'ekonomi yang dahsyat' terutamanya berkaitan isu hutang negara.
"Negara kita kini sedang mengalami krisis genting mengenai pemerintahan dan kepimpinan.
"Ini menyebabkan kita mengalami masalah ekonomi yang dahsyat terutamanya berkaitan dengan isu hutang negara
"Ia mengakibatkan beberapa masalah ekonomi serius seperti kenaikan mendadak kos sara hidup yang membawa kesan buruk kepada rakyat," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menyedari desakan terhadap perubahan semakin lantang, Tengku Razaleigh berkata sekiranya cara berpolitik tidak ditukar, Malaysia akan terus menghadapi krisis seperti berlaku sekarang.
"Saya konsisten dan berkali-kali menyatakan bahawa kita pasti tidak dapat mengelak perubahan.
"Tanpa perubahan dalam tatacara pemerintahan negara dan cara kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab awam, tidak mungkin kita dapat selesaikan masalah yang dihadapi itu," kata bekas menteri kewangan itu.
Bertindak ikut perlembagaan
Bagaimanapun bekas seteru politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata sebagai pengamal politik, beliau bertindak berlandaskan perlembagaan persekutuan dan kehendak parti.
"Seperti juga orang lain yang inginkan perubahan, saya juga sentiasa mencari jalan munasabah dan sah dari segi undang-undang untuk maksud ini, termasuklah meneliti peranan yang boleh dimainkan oleh Dewan Rakyat.
"Yang demikian isu menyokong kerajaan yang memerintah dan sekaligus memberi sokongan kepada ketua kerajaan tidak timbul," katanya dalam kenyataan media.
Ku Li minggu lalu menandatangani Deklarasi Kelantan bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Perisytiharan itu dianggap sebagai tindak balas kepada Deklarasi Rakyat yang dianjurkan Mahathir Mohamad bagi menyingkirkan Najib.
Susulan itu, Mahathir mendakwa Ku Li sendiri memberi cadangan supaya Najib disingkirkan dengan cara undi tidak percaya di parlimen.
Bagaimanapun menurut Mahathir, Ku Li kini menukar pendiriannya untuk menyokong Najib.
No comments:
Post a Comment