IKHWAN HAZWAN
Pesuruhjaya Pas Sarawak,
Jofri Jaraiee menegaskan sokongan pengundi dan rakyat terhadap parti
Islam tersebut di Sarawak ketika ini semakin mengukuh dan bukannya tidak
mendapat sambutan seperti mana yang dikatakan oleh Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
KUALA LUMPUR, Pesuruhjaya Pas Sarawak, Jofri Jaraiee
menegaskan sokongan pengundi dan rakyat terhadap parti Islam tersebut di
Sarawak ketika ini semakin mengukuh dan bukannya tidak mendapat
sambutan seperti mana yang dikatakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut Jofri, Pas akan bertandingan 11
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN)
Sarawak seperti mana yang dikatakan oleh Naib Presiden, Datuk Iskandar
Abdul Samad.
Jelasnya, antara kerusi yang akan
ditandingi tersebut termasuklah beberapa kerusi bandar yang mana sebelum
ini ia biasanya ditandingi oleh calon DAP.
“Antara kerusi yang bakal ditandingi oleh
Pas dalam Pilihanraya Negeri Ke-11 akan datang termasuklah Beting Maro,
Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang, Samariang, Pantai Damai, Jepak,
Samalaju, Lambir, Senadin, Batu Kawa, Dudong dan beberapa kerusi lagi
yang sedang dipertimbangkan.
“Apapun,
Pas Sarawak sedia berunding dengan PKR sebagaimana keputusan Pas Pusat
yang masih mengekalkan tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan PKR.
“Perbincangan kerusi ini tidak tertakluk
kepada perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH) kerana Pas bukan
sebahagian gabungan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Jofri, beliau mengingatkan PKR
agar lebih berwaspada dengan tindakan licik rakannya dalam PH iaitu DAP
yang baru-baru ini telah ‘mencuri’ beberapa bekas calon PKR dalam
pilihan raya lepas dan mengisytiharkan mereka menyertai DAP.
Katanya, DAP juga bercita-cita tinggi untuk merampas banyak kerusi yang ditandingi oleh PKR sebelum ini.
“DAP telah mengisytiharkan untuk
bertanding sekurang-kurangnya 30 kerusi daripada 15 kerusi yang
ditandinginya DAP sebelum ini,” ujarnya.
Beliau berkata, isu seperti membabitkan
Pas sebagai parti Semenanjung tidak lagi berbangkit kerana ia adalah
parti yang berasaskan perjuangan Islam untuk semua tanpa mengira bangsa,
agama dan warna kulit.
“Ini terbukti dengan wujudnya Dewan
Himpunan Penyokong Pas yang terdiri dari mereka yang bukan beragama
Islam dan memainkan peranan yang penting sebagai hubungan antara kaum
dan agama di Sarawak.
“InsyaAllah seluruh pimpinan dan ahli Pas
akan terus turun padang ke Sarawak bagi membantu persiapan pilihan raya
dengan sasaran untuk menghantar Ahli Dewan Undangan Negeri sulung Pas
ke DUN Sarawak,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment