GEORGE TOWN,  Kerajaan negeri Pulau Pinang akan berjumpa dengan nelayan tempatan bagi mengetahui mengenai kebimbangan mereka berhubung penambakan tanah di selatan negeri itu.


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Abdul Malik Abul Kassim, berkata tindakan itu juga bertujuan mendapatkan pandangan mereka terhadap cadangan projek penambakan itu.

Dia juga turut menafikan dakwaan nelayan bahawa mereka tidak dibawa berunding selama atau tidak dimaklumkan mengenai cadnagan projek, sambil menjelaskan dakwaan itu sebagai tidak masuk akal.

“Kami baru saja memulakan proses rundingan awam dalam dua minggu ini dengan mengadakan tiga sesi dialog, bersama NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan orang awam, dan selepas ini, kami akan berjumpa dengan penduduk serta nelayan,” katanya dalam satu sidang media di Komtar, dekat sini, hari ini.

Abdul Malik berkata demikian sebagai merujuk kepada mesyuarat yang dibuat bersama masyarakat dan forum awam yang diadakan dua minggu lalu.

“Kami sedar mengenai nasib nelayan dan kebimbangan mereka seperti kehidupan mereka dan penempatan semula,” katanya.

Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Maung, berjanji bahawa kerajaan negeri akan menganjurkan acara yang sepatutnya untuk menjelaskan projek bagi nelayan.

Tambahnya lagi, dia akan bertemu dengan nelayan di kawasan pilihan rayanya bagi mendengar sendiri kebimbangan mereka.

“Selepas tiga acara rasmi dengan kumpulan berlainan sejak dua minggu lalu, selepas ini, sesi bersama JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) dan selepas itu, akan ada sesi sebenar bersama nelayan,” katanya.

Abdul Malik turut menafikan dakawaan bahawa dia tidak pernah bertemu dengan mana-mana nelayan berhubung cadangan projek itu.

Sebaliknya, beliau mendakwa sudah bertemu lebih 100 nelayan bagi membincangkannya.

Semalam, sekumpulan nelayan dari pelbagai persatuan nelayan mempersoalkan keikhlasan Abdul Malik dalam menolong mereka dan menyangkal kenyataan awal yang dibuat mengatakan bahawa dia sudah mengadakan rundingan bersama mereka.

Mereka mendakwa, tiada rundingan dibuat dalam projek yang dicadangkan dibuat membabitkan kawasan lebih 4,000 ekar di luar pantai Permatang Damar Laut.

Abdul Malik berkata, kerajaan negeri sudah menerima memorandum bantahan projek berkenaan yang dihantar oleh kumpulan nelayan terbabit.

Penambakan semula kawasan pulau di Pulau Pinang adalah bagi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (TMP) yang bernilai RM27 bilion oleh SRS Consortium Sdn Bhd yang menjadi rakan kongsi penyampaian projek.

Dalam cadangan projek, kira-kira 4,000 ekar tanah di luar pantai Permatang Damar Laut akan ditambak semula bagi membentuk tiga pulau buatan manusia.